Anwar harapkan undi bukan Melayu di Port Dickson, kata penganalisis

Kamarul Zaman berkata, berdasarkan undi diterima Umno dan PAS dalam pilihan raya umum Mei lalu, ramai pengundi Melayu masih terpengaruh dengan isu bangsa dan agama.

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bergantung kepada pengundi bukan Melayu dalam pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson yang bakal diadakan kerana pengundi Melayu masih lagi menyokong Barisan Nasional (BN) dan PAS, kata penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Katanya, Anwar memerlukan pengundi bukan Melayu kerana populasi pengundi Melayu yang tinggi di Port Dickson, iaitu sebanyak 43% berbanding pengundi Cina (33%) dan India (22%).

“Pengundi Melayu umumnya ramai yang masih menyokong BN dan PAS di Port Dickson,” katanya kepada FMT.

“Beliau amat perlukan undi bukan Melayu untuk menang dan akan menjadi masalah jika DAP tidak menyokongnya di Port Dickson.”

Beliau berkata, berdasarkan kepada undi yang diterima Umno dan PAS dalam pilihan raya umum Mei lalu, ramai pengundi Melayu dilihat masih terpengaruh dengan isu bangsa dan agama.

Pada pilihan raya umum lepas, calon BN Datuk V S Mogan meraih 18,515 undi dan calon PAS Mahfuz Roslan mendapat 6,594 undi berbanding calon PKR Datuk Danyal Balagopal Abdullah (36,225 undi).

Semalam, Anwar diumumkan akan bertanding di Parlimen Port Dickson selepas kerusi itu dikosongkan oleh Danyal bagi membuka laluan kepada beliau untuk kembali ke Parlimen.

Pakatan Harapan (PH) dilaporkan mempunyai persefahaman bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kuasa kepada penggantinya, Anwar, selepas tempoh masa tertentu.

Anwar merupakan pilihan pertama gabungan itu untuk jawatan perdana menteri.

Seorang lagi penganalisis politik Bazrul Bahaman bagaimanapun percaya Anwar akan menang di Port Dickson dengan sokongan majoriti pengundi Melayu.

Ini kerana katanya, majoriti masih melihat Anwar sebagai ikon Melayu yang memperjuangkan hak orang Melayu.

“Orang Melayu menyokong Anwar sejak dahulu lagi dan tetap akan beri sokongan kepada beliau.

“Pengundi Melayu percaya beliau boleh memberi jaminan bahawa PH kekal komited mempertahan peruntukan perlembagaan persekutuan dalam soal hak Melayu, serta kedudukan bahasa Melayu dan Islam,” katanya.

Kali terakhir Anwar, 71, bertanding ialah dalam pilihan raya ke-13 2013 di kerusi Parlimen Permatang Pauh. Beliau kemudiannya menjalani hukuman penjara apabila Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan sabitan bagi kesalahan liwat.

Anwar diberi pengampunan Diraja sejurus selepas PH membentuk kerajaan pada 9 Mei, membolehkan beliau kembali aktif berpolitik.