Anwar jamin Wan Azizah letak jawatan selepas jadi PM

JOHOR BAHRU: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan meletakkan jawatan timbalan perdana menteri selepas dia dilantik menjadi perdana menteri.

Ketua umum PKR berkata sekarang belum masanya Dr Wan Azizah meletakkan jawatan dalam Kabinet.

“Kenapa Wan Azizah tidak letak jawatan? Kalau Dr Wan Azizah letak jawatan, nanti hilanglah jawatan timbalan perdana menteri dari PKR.

“Saya juga sudah beritahu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, kalau saya menang Parlimen Port Dickson, saya tidak mahu masuk kerajaan sekarang. Saya nak bagi laluan kepada Dr Mahathir menggalas tanggungjawab dia sehingga giliran saya.

“Jadi sabarlah, saya dilantik, Dr Wan Azizah akan letak. Bila? Bila giliran saya jadi PM. Tak payah orang sibuk dari awal, suruh dia letak. Ini yang berlaku dalam negara tapi sabarlah. Orang bangkitkan, saya jelaskan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 500 anggota PKR dalam program Bicara Maal Hijrah bertajuk Hijrah ke Arah Malaysia Baharu di Dewan Utama Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar hari ini.

Hari ini, sebuah pertubuhan veteran tentera dilaporkan memberi amaran kepada Anwar agar tidak mewujudkan dinasti keluarga di Parlimen, sebaliknya pemimpin PKR itu seharusnya meminta isterinya, Dr Wan Azizah atau anak perempuannya, Nurul Izzah mengosongkan kerusi Parlimen mereka.

Persatuan Patriot Nasional (Patriot) dilaporkan sebagai berkata keluarga itu kemungkinan dituduh nepotisme jika Anwar berjaya ke parlimen.

Anwar, 71, yang bakal memegang jawatan presiden PKR secara rasmi November ini, diumumkan akan bertanding di Port Dickson setelah penyandang, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta pada Rabu.

Sementara itu, Anwar turut mengakui letih untuk menjawab soalan mengenai perhubungannya dengan Dr Mahathir.

“Ya, satu dunia tahu saya musuh dia. Satu dunia tahu memang kita geng kuat dalam kerajaan dahulu. Bila bergaduh paling sengit, perang habis-habisan, sekarang kita berdamai. Patut semua sokong.

“Saya dan Dr Mahathir berdamai supaya apa yang berlaku dulu akan dihentikan. Kita rasakan dengan gandingan kekuatan baru ini, kita boleh tumbangkan kerajaan Barisan Nasional,” kata beliau.

Anwar juga berkata pemilihan parti November ini penting terutama dalam memastikan idealime perjuangan parti terus dipegang oleh ahli parti, selain memastikan ahli boleh bekerja sebagai satu pasukan dan tetap setia dengan perjuangan parti.

“Sebab itu, pemilihan parti ini penting. Jangan saya berdamai dengan Dr Mahathir tetapi ada pula bunyi, suara-suara sumbang dalam parti. Orang hormat parti kita sebab parti kita terkuat dan terbesar. Jika beri pendapat boleh, tapi kena ikut ruang betul,” kata beliau.