Bangunan seperti piramid di China jadi tarikan netizen

China sekali lagi membuktikan kemampuan dan bakat seni bina menerusi pembinaan sebuah bangunan residensi di Kunshan, sebuah bandar berhampiran Shanghai.

Menariknya mengenai bangunan 18 tingkat itu ialah bentuknya seperti piramid, setiap unit rumah seperti diatur secara kemas dan rapi dengan ruang untuk pencahayaan yang signifikan.

Ekoran itu, bangunan tersebut dikatakan menjadi tarikan bukan sahaja dalam kalangan penduduk sekitar malah netizen dari seluruh dunia yang mula viralkan gambar dan video bangunan itu.

Klip video diambil menggunakan drone khusus oleh China News Service menunjukkan posisi setiap unit rumah yang diatur secara bertingkat di atas kestabilan cerun 45 darjah seolah seperti blok-blok lego.

Bangunan setinggi 100 meter yang unik tetapi popular di wilayah Huaqiao di Kunshan merupakan sebahagian daripada kompleks residensi dan perdagangan yang siap dibina pada 2013.

Selain itu terdapat 2 lagi struktur bangunan 12 tingkat yang dibina bersebelahan bangunan utama, patik Daily Mail.

Kesemua 3 bangunan di posisi secara kemas, walaupun hanya satu kelihatan seperti piramid sepenuhnya, 2 lagi berbentuk meninggi pada satu sudut.

Firma yang mereka bentuk kompleks tersebut, Masters’ Architectural berkata, pihaknya mendapat ilham untuk bangunan itu daripada sawah padi bertingkat tradisional China yang dibuat di atas cerun bukit atau gunung.

Tambahnya, idea tersebut juga diambil dari aktiviti sukan lasak, parkour yang memperlihatkan pesertanya berlari melompat dari satu sudut ke sudut lain.

Sukan itu mendapat tempat dalam kalangan anak muda di China dan mereka yang tinggal di kawasan urban.

Firma itu mahu bangunan tersebut dikaitkan dengan citarasa moden dan trending.