Bekas ketua hakim gesa lindungi ‘whistle blower’ dalam kerajaan

Tun Zaki Azmi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas ketua hakim negara menggesa kerajaan menyediakan ruang selamat untuk penjawat awam memberikan maklumat salah laku, seperti yang diamalkan di sektor swasta.

Tun Zaki Azmi berkata kerajaan mesti menyediakan satu dasar baru agar penjawat awam dilindungi daripada bahaya apabila melaporkan perkara tidak betul kepada pihak berwajib, termasuk melindungi identiti dan maklumat pelapor.

Beliau tertanya mengapa sektor perkhidmatan awam tidak menyediakan perlindungan kepada pemberi maklumat seperti di syarikat-syarikat swasta.

“Jika dia tidak melaporkan perkara yang tidak betul maka dia tidak melakukan tugasnya,” katanya ketika ditemui pemberita di satu seminar di Institut Tadbir Awam Negara (Intan) hari ini.

“Dasar ini mesti menentukan pemberi maklumat tidak akan diambil tindakan, melainkan maklumat yang diberikan itu palsu atau bertujuan untuk menganiaya,” katanya.

Zaki diundang untuk bercakap kepada kira-kira 350 penjawat awam di seminar Pengasingan kuasa: Di Mana Garisan Neutraliti Penjawat Awam.

Di wacana itu beliau mengingatkan penjawat awam mesti mengikut dasar-dasar baru kerajaan dan berpegang syarat-syarat perkhidmatan.

“Kalau hendak jadi ahli politik, jadilah ahli politik bukannya penjawat awam. Kalau hendak jadi penjawat awam, kemudian hendak bantu parti yang kita sokong maka itu tidak betul.

“Kita bukan ikut parti tetapi ikut dasar kerajaan. Mesti faham perbezaan antara kerajaan dan parti yang mentadbir kerajaan,” katanya.

Beliau menggesa penjawat awam tidak terlibat dalam kempen parti politik agar tidak mengulangi kesilapan dan kesalahan lalu.

“Dahulu banyak benda ini berlaku atas nama kerajaan tetapi sebenarnya atas nama parti,” katanya.

“Penjawat awam tidak boleh berkempen untuk kegunaan mana-mana parti politik, tidak boleh guna aset kerajaan untuk kepentingan parti.”