Berani atau tidak bertanding di PD, Hadi tanya Anwar

Hadi Awang berkata PRK Port Dickson menjadi medan untuk Umno dan PAS menjalani latihan bersama-sama seperti tentera.

PETALING JAYA: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengajukan soalan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada presiden PKR itu berani atau tidak bertanding di Parlimen Port Dickson.

Beliau berkata demikian setelah yakin dengan peratusan sokongan terhadap blok pembangkang di 2 pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini kerana peratusan undi diterima semakin meningkat.

“Post Mortem belum buat (PRK Sungai Kandis dan Seri Setia), tetapi berdasarkan petunjuk awal di Sungai Kandis dan Seri Setia, menunjukkan ada penambahan undi bagi Umno dan PAS.

“Tak tahu di PD (Port Dickson) dia (Anwar) berani ke tidak nak bertanding,” katanya pada sidang media di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di Kuala Terengganu.

Kekosongan kerusi Parlimen Port Dickson berlaku selepas penyandangnya, Danyal meletak jawatan bagi membuka laluan untuk Anwar kembali ke Parlimen.

Pakatan Harapan (PH) mempunyai persefahaman iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kuasa kepada penggantinya, Anwar, selepas tempoh masa tertentu.

Anwar merupakan pilihan pertama gabungan itu untuk jawatan perdana menteri.

Bagaimanapun, tindakan itu mengundang kritikan termasuk daripada pimpinan PKR sendiri.

Mengulas lanjut, Hadi sambil berseloroh berkata PRK kali ini menjadi medan untuk Umno dan PAS menjalani latihan bersama-sama seperti tentera.

“Pertama dalam negara demokrasi, boleh bertanding boleh letak jawatan dan kita tak boleh halang siapa nak bertanding.

“Kita anggap peluang latihan bersama. Kalau tentera boleh buat latihan bersama maka PRK latihan bersama pada parti-parti pembangkang.”