Dr M sokong kempen Anwar di PD

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyokong kempen Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Port Dickson nanti, yang jika berjaya akan menyaksikan perdana menteri menanti itu kembali ke Parlimen.

Perdana menteri juga mengesahkan bakal presiden PKR itu memaklumkan rancangannya untuk bertanding di Port Dickson.

“Ya betul dia ada huhungi saya sewaktu dia di Hong Kong.

“Biasanya saya beritahu Anwar saya tidak akan pergi dan berkempen. Tetapi saya akan sokong kempennya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPBM di Yayasan Selangor.

Kekosongan kerusi Parlimen Port Dickson berlaku selepas penyandangnya, Danyal meletak jawatan bagi membuka laluan untuk Anwar kembali ke Parlimen.

Pakatan Harapan (PH) dilaporkan mempunyai persefahaman iaitu Dr Mahathir akan menyerahkan kuasa kepada penggantinya, Anwar, selepas tempoh masa tertentu.

Anwar merupakan pilihan pertama gabungan itu untuk jawatan perdana menteri.

Sementara itu, Dr Mahathir tiada pendapat apabila ditanya adakah terlalu awal untuk Anwar menjadi wakil rakyat. Beliau juga memberitahu pemberita hubungannya dengan pemimpin PKR itu pada masa ini “baik-baik sahaja”.

“Saifudin Nasution (setiausaha agung PKR) ada berkata apabila Anwar menang dia tidak akan minta jawatan,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir turut menyentuh beberapa isu lain:

Mengenai pilihan raya kecil

Kita ambil perhatian reaksi orang ramai dan parti terhadap perkara ini. Kita ambil maklum pemerhatian orang ramai.

Mengenai pengganti

Kita sudah bersetuju Anwar orangnya tetapi belum pasti bila. Dalam masa 2 tahun lagi saya akan berusia 95 tahun.

Mengenai nilai ringgit

Ringgit sudah mengukuh. Nilai semua matawang merosot. Matawang lain merosot lebih daripada kita. Argentina lebih 50%. Turki dan banyak negara lain kerana perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

Saya fikir ringgit terkurang nilai.