Erdogan, Putin bincang isu Syria pada Isnin

Gambar AFP

ANKARA: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan akan bertemu rakan sejawatan dari Rusia, Vladimir Putin di bandar peranginan Sochi pada Isnin, antara lain membincangkan isu Syria.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu kepada pemberita pada sidang media di Islamabad, Pakistan, lapor agensi berita Xinhua.

“Turki sedang berusaha untuk gencatan senjata dapat dilaksanakan di Idlib. Usaha akan diteruskan dengan Iran dan Rusia selain platform antarabangsa,” katanya.

Pada minggu lalu, Erdogan bertemu pemimpin Iran dan Rusia di Tehran untuk sidang kemuncak krisis di Syria, di tengah kebimbangan ekoran peningkatan pertempuran antara pihak kerajaan dan pemberontak di wilayah Idlib.