JPN: Cuai punca lebih 1 juta Mykad hilang sejak 2016

Untuk kes kehilangan kali ketiga selain denda, JPN akan melakukan siasatan terperinci dalam tempoh sehingga 90 hari sebelum MyKad baru dikeluarkan.

PUTRAJAYA: Faktor kecuaian merupakan antara punca utama berlakunya kehilangan 1,076,224 MyKad seperti yang dilaporkan kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tempoh tidak sampai 3 tahun sejak 2016 sehingga Ogos lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN Jasri Kasim berkata berdasarkan statistik jabatan itu, kehilangan yang berpunca daripada faktor kecuaian pemilik MyKad sendiri adalah sebanyak 820,858 kes, manakala jenayah 242,863 kes dan bencana (12,503).

Bagaimanapun, katanya kes kehilangan itu mencatatkan penurunan setiap tahun, dengan 2016 mencatatkan 415,048 kes, tahun lepas 390,163 kes manakala setakat 31 Ogos tahun ini 271,013 kes.

“Pemilik MyKad sudah ada sedikit kesedaran betapa pentingnya dokumen peribadi itu kepada mereka dan nampaknya kenaikan kadar denda membuat mereka lebih berhati-hati dan tidak cuai sehingga menyebabkan berlaku kehilangan MyKad,” katanya dalam satu temu ramah di Ibu Pejabat JPN semalam.

Jasri berkata, kadar denda yang dikenakan JPN sejak Oktober 2015 ialah RM100 untuk kes kehilangan pertama, kes kedua (RM300) dan ketiga (RM1,000) berbanding sebelum ini hanya RM100 untuk kes kehilangan pertama, kedua (RM200) dan ketiga (RM300).

Tegasnya untuk kes kehilangan kali ketiga selain denda, pihak JPN juga akan melakukan siasatan terperinci dalam tempoh sehingga 90 hari sebelum MyKad baru boleh dikeluarkan.

Jasri berkata untuk kes kehilangan yang berpunca daripada jenayah, bencana, golongan kurang upaya (OKU) dan mereka yang berumur 18 tahun ke bawah diberikan pengecualian denda dan hanya perlu membayar RM10 sahaja.

Dalam pada itu, katanya setakat 31 Ogos tahun ini masih terdapat 114,215 MyKad baru yang belum dituntut atas beberapa sebab.

Katanya antara sebab tersebut termasuklah MyKad lama yang dilaporkan hilang ditemui semula, kekangan masa, kos pengangkutan tinggi untuk pemohon MyKad di kawasan pedalaman dan gagal membayar denda.

“MyKad yang tidak dituntut akan disimpan selama 36 bulan oleh JPN dan jika tiada tuntutan dibuat selepas tempoh itu, MyKad terbabit akan dilupuskan di dalam sistem dan secara fizikal,” katanya.