Kerajaan cadang wujud program sokongan komuniti asuh kanak-kanak di PPR

Tragedi kanak-kanak jatuh bangunan telah 4 kali berlaku di PPR Kota Damansara sejak 2008. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata kementeriannya dalam usaha mewujudkan program sokongan komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi membantu ibu bapa dalam penjagaan anak masing-masing dalam tempoh yang singkat.

Beliau berkata, perancangan tersebut bertujuan membantu ibu bapa dalam kelompok berpendapatan rendah (B40) yang dilihat kurang mampu menghantar anak-anak mereka ke pusat asuhan berdaftar.

“Pusat asuhan kanak-kanak ada bayaran, tetapi perancangan kita di bawah Dasar Komuniti Negara hanya melibatkan semangat sukarela daripada penduduk,” katanya pada satu sidang media di perkarangan Blok A, PPR Kota Damansara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tragedi menyayat hati kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun yang terjatuh dari tingkat 17 bangunan berkenaan.

Dalam kejadian 7.10 pagi semalam, Siti Nur Nadhirah dipercayai tergelincir ketika memanjat kerusi plastik di balkoni rumah yang tidak dipasang jeriji.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan bersendirian di rumah kerana ibu bapanya keluar sejak pukul 6.00 pagi untuk berniaga nasi lemak di Bukit Jelutong, Shah Alam, manakala kakak mangsa berusia 14 tahun keluar menghantar seorang adiknya berusia 7 tahun ke tadika di Blok D PPR berkenaan.

Kakak mangsa yang bersekolah di sesi petang mengambil tugas menjaga adik bongsunya (mangsa) sehingga ibu bapanya pulang, sekitar waktu tengah hari.

Media melaporkan, keluarga mangsa bagaimanapun reda dengan tragedi itu.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, pihaknya tidak ingin perkara seperti ini berlaku sekali lagi selepas 4 kejadian yang sama berlaku sejak 2008 dan terbaharu yang meragut nyawa kanak-kanak itu, semalam.

“Kita kena buat sesuatu, tak boleh berulang lagi, sudah 4 kali kejadian yang sama.

“Kita akan terapkan semangat kesepakatan dan perpaduan dalam kalangan penduduk supaya mereka sama-sama membantu antara satu sama lain.

“Contohnya, Mak Cik Minah ke pasar dalam tempoh 3 jam, anaknya akan dijaga oleh jiran tetangga sehingga dia pulang. Begitu juga sebaliknya, ketika Mak Cik Minah lapang masa, dia pula menjaga anak jiran-jiran yang lain,” katanya.