Maszlee bijak pendekkan perkhidmatan saya, kata bekas pengerusi UMS

PETALING JAYA: Bekas pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Tun Zaki Azmi menganggap tindakan Menteri Pendidikan Maszlee Malik memendekkan tempoh perkhidmatannya sebagai tindakan bijak.

Bekas ketua hakim negara itu ketika ditemui pemberita di seminar di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) berkata dia percaya Maszlee sedang menghimpunkan “rakan sepasukan” yang baik untuk bekerjasama dengannya.

“Saya beritahu universiti ia adalah ‘wise decision’ dari menteri. Saya kena jujur kerana pengerusi seterusnya seseorang yang boleh bekerjasama dengan menteri dan jika seseorang itu boleh bekerja maka ia memberi manfaat kepada UMS,” katanya

Pada Julai lalu, Maszlee dilapor membuat keputusan untuk menggantikan 5 pengerusi di universiti awam, yang disifatkan sebagai lantikan politik kerajaan Barisan Nasional, agar proses reformasi institusi oleh Pakatan Harapan tidak terganggu.

Mereka yang terkesan adalah Zaki di UMS, Tan Sri Sufri Mohd Zin di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Datuk Dr Kamaruddin Hussin di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Tan Sri Noorul Ainur Mohd Noor di Universiti Sains Malaysia (USM), dan Tan Sri Anuwar Ali di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Zaki berkata banyak perkara boleh diselesaikan dengan kerjasama baik antara pengerusi dan menteri.

“Sebelum ini menteri terdahulu, Datuk Seri Idris Jusoh, saya kenal jadi apabila ada masalah terus beritahu dan selesai. Bukan disebabkan politik tetapi kerja.”

Di seminar hari ini, Zaki memberitahu kira-kira 350 penjawat awam bahawa seorang menteri tidak patut memaksa pelantikan “orang-orang politik dia”, sebaliknya memilih calon yang pakar dalam bidangnya.

Beliau juga mengingatkan para penasihat menteri supaya memberikan pandangan secara ikhlas, tegas dan tidak dipengaruhi faktor luaran seperti politik.