PDRM umum tukar 10 pegawai kanan bermula 15 Okt depan

Ibu pejabat polis Bukit Aman. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran 10 pegawai kanannya berkuat kuasa 15 Okt ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), SAC Datuk Asmawati Ahmad berkata pertukaran itu melibatkan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang bertukar sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.

Tempat Acryl Sani diambil alih Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Seri Tajudin Md Isa, yang tempatnya diganti Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Asmawati berkata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah kini memangku jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah dengan pangkat CP.

Turut bertukar jawatan ialah Ketua Polis Perlis Datuk Azisman Alias sebagai Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

Ekoran pertukaran itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Shahrul Othman Mansor kini sebagai SAC Bahagian Dasar Sumber Manusia Jabatan Pengurusan Bukit Aman manakala Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana Maktab PDRM Kuala Lumpur SAC Noor Mushar Mohd bertukar sebagai Ketua Polis Perlis.

“Ketua Penolong Pengarah Urusetia Bahagian Kepolisan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman ACP Norizan Murad bertukar sebagai Ketua Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana Maktab PDRM Kuala Lumpur (memangku pangkat SAC),” kata Asmawati.

Turut bertukar ialah Ketua Jabatan Pengurusan Perlis, Supt Mohd Nor Marzukee Besar sebagai Ketua Polis Daerah Nilai, Negeri Sembilan dan DSP (D6C) Unit Fotografi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DSP Aidi Sham Mohamed memangku pangkat Supt sebagai Ketua Polis Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan.