Pemuda PAS: Jangan sampai Ahmad Maslan juarai isu anak muda

Ahmad Maslan sebelum ini terkenal dengan aksi peliknya dalam menjuarai isu anak muda.

KUALA TERENGGANU: Pemuda PAS digesa supaya lebih ke hadapan memperjuangan isu anak muda dan tidak membiarkan pihak lain mengalas tanggungjawab tersebut.

Perwakilan Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, kegagalan Pemuda PAS berbuat demikian hanya membuatkan orang lain dilihat lebih menyerlah dalam memperjuangkan isu golongan muda.

“Kita perlu lebih ‘advance’ dan ‘lead’. Pakatan Harapan (PH) sibuk nak dakwa orang itu dan ini di mahkamah tapi kebajikan rakyat diabaikan, manifesto gagal ditunaikan.

“Jangan sampai Ahmad Maslan dilihat lebih mendahului dalam isu anak muda. Maka, kitalah yang perlu bertindak dan ambil cabaran untuk lebih ke hadapan,” katanya sambil berseloroh disambut gelak tawa ahlinya ketika perbahasan Muktamar Pemuda PAS ke-59 di Kuala Terengganu.

Ahmad yang merupakan ahli parlimen Pontian sebelum ini terkenal dengan aksi peliknya dalam menjuarai isu anak muda.

Ahmad Nawfal berkata antara usaha yang boleh dikembangkan adalah mengadakan wacana dan “town hall” dengan menyentuh isu yang dekat dengan anak muda seperti harga barang, ekonomi dan lain-lain.

Katanya, Pemuda PAS juga perlu menguasai politik intelektual dan memperbanyakkan penerangan mengenai kebaikan Islam.

“Kita mesti berusaha ke arah menghentikan hentaman ini. Memang jelas kebobrokan dan kejahilan pihak lawan, tapi masyarakat sentiasa tunggu penyelesaian yang Islam tawarkan.

“Kadang-kadang kita terlalu kuat menghentam sehingga terlupa menawarkan penyelesaian. Lebih malang sahabat sendiri pun dihentam,” katanya.

PAS menang PRU14 cara bersih

Sementara itu, perwakilan Pahang Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin, menerusi ucapannya berkata PAS memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan cara yang bersih tanpa diselitkan kaedah politik fitnah dan persepsi seperti parti lain.

“PAS menang 2 juta undi, BN (Barisan Nasional) juga menang 2 juta undi, manakala PH menang 5 juta undi pada PRU14 lalu. Kemenangan melalui politik fitnah bukanlah kemenangan boleh dibanggakan.

“Kejayaan PAS tidak diselitkan dengan politik fitnah dan persepsi,” katanya sambil menambah PAS berdepan cabaran dalam mempertahankan diri daripada fitnah ketika pra PRU14.

“Macam-macam dilemparkan kepada PAS, termasuk PAS terima dedak RM90 juta daripada BN. Benar-benar sukarkan PAS mempertahankan diri, apabila PH manfaatkan media sosial sepenuhnya oleh ‘cyber trooper’,” katanya.

Beliau menambah, 5 bulan pentadbiran kerajaan PH disifatkan lebih teruk daripada BN.

“Sinetron-sinetron komedi disampaikan oleh wakil rakyat PH, mereka tunjukkan ketidakmatangan mereka dalam pentadbiran.

“Tiada beza daripada pentadbiran dahulu, malah mereka menzalimi rakyat. Kumpulan pro-Syiah, pro-liberal dan pro-LGBT semakin berani. Inilah keterbukaan yang dibanggakan PH,” katanya.