Polis tahan ‘pengikut’ Imam Mahdi rancang lawan dajal

KPN Fuzi Harun berkata kumpulan pengganas itu dikenali sebagai ‘Pemuda Dari Timur’ dan ‘Ar-Rayah Member’.

PETALING JAYA: Seramai 10 suspek disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas berjaya ditahan dalam serbuan pada 11 hingga 31 Ogos lalu di Selangor, Pahang, Johor, Terengganu, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek yang terdiri daripada 2 kumpulan itu merancang untuk menyertai kumpulan pengganas di Timur Tengah.

“Tangkapan pertama melibatkan sel terdiri daripada 5 suspek yang dikenali sebagai kumpulan ‘Asoib’ atau ‘Pemuda Dari Timur’ di Selangor, Pahang, Johor dan Terengganu. Semua anggota sel itu berusia 39 hingga 53 tahun.

“Mereka merancang bergabung dengan 1 kumpulan pengganas di sebuah negara Timur Tengah bagi melancarkan serangan di sebuah negara bersempadan dengan negara tersebut. Bahkan, salah seorang anggota sudah berlepas ke negara Timur Tengah,” katanya.

Fuzi berkata, kumpulan ini juga memberi tafsiran salah berkaitan Imam Mahdi di mana mereka percaya imam itu akan muncul di Mekah pada tahun ini dan merancang untuk bergabung dengan “Tentera Imam Mahdi” bagi menyerang negara sekular serta menentang dajal.

Tambahnya, sebuah lagi kumpulan pengganas terdiri daripada 5 anggota yang dikenali sebagai kumpulan “Ar-Rayah Member” ditahan pada 25 Ogos hingga 31 Ogos di Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang.

Malah, suspek yang berusia antara 18 hingga 50 tahun ini merancang untuk melancarkan serangan bom asap di tempat maksiat sekitar Melaka dan Pulau Pinang yang bertujuan untuk menimbulkan suasana panik dan gempar kepada pengunjung pusat hiburan.

“Turut dirampas adalah 5 bom asap yang sudah siap diproses. Susulan tangkapan suspek pada 25 Ogos di Melaka, polis berjaya menahan 4 lagi anggota sel sama pada 31 Ogos di Kelantan dan Pulau Pinang,” katanya.

Turut ditahan adalah seorang warganegara asing berusia 50 tahun dipercayai anggota kumpulan pengganas dari sebuah negara di Asia Tenggara yang bekerja sebagai peniaga restoran.

“Suspek bertindak mempromosikan perjuangan kumpulan tersebut kepada anggota kumpulan WhatsApp ‘Ar-Rayah Member’.

“Suspek berperanan mempengaruhi anggota kumpulan untuk menyumbang dana bagi kumpulan pengganas tersebut membeli senjata api dan peluru.

“Semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah kesalahan berkaitan keganasan, kanun keseksaan akta 574 dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 (akta 747).”