PRK PD: PH Negeri Sembilan sasar 60% keluar mengundi

Aminuddin berkata PH akan memohon kepada SPR supaya pengundian dijalankan pada hari Sabtu atau Ahad kerana ketika itu ramai pengundi bercuti. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menyasarkan 60% keluar mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Pengerusinya yang juga pengerusi PKR negeri Aminuddin Harun berkata PH akan berkerja keras termasuk mengadakan pelbagai aktiviti bagi memastikan lebih ramai pengundi keluar mengundi pada PRK tersebut.

“Mesyuarat malam ini memutuskan menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Port Dickson. Semua komponen PH negeri komited dan masing-masing diberikan tugasan untuk memenangkan beliau.

“Kita optimis peratusan keluar mengundi akan capai 60% … ini ‘target’ minimum kita,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas di kediaman rasmi menteri besar, di sini, malam tadi.

Aminuddin yang akan mengetuai jentera PRK berkata selain itu, sebagai langkah meningkatkan lagi peratusan keluar mengundi, pihaknya juga akan turut menghubungi pengundi Port Dickson yang berada di luar daripada kawasan untuk pulang mengundi.

“Kita juga akan memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya hari pengundian dijalankan pada hari minggu sama ada Sabtu atau Ahad kerana ketika itu ramai pengundi yang bercuti,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat sebarang masalah dibangkitkan ketika mesyuarat berlangsung, Aminuddin berkata tiada sebarang masalah yang timbul.

Menjawab soalan sama ada PKR akan menangguhkan pemilihan parti itu memandangkan berlangsungnya PRK, beliau berkata ia tidak memberi kesan kepada proses pemilihan parti.

“Proses pemilihan berlangsung secara berperingkat dan tidak memberi kesan. Saya menyeru semua anggota turun membantu berkempen PRK ini,” katanya.

PRK Port Dickson (dahulu Telok Kemang) diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, melepaskan jawatan wakil rakyat kawasan itu bagi memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR, dan mahu kembali sebagai seorang Ahli Parlimen.

Pada pilihan raya umum ke-14 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menewaskan calon Barisan Nasional Datuk V S Mogan dan calon PAS Mahfuz Roslan dengan majoriti 17,710 undi.