PRK PD: Pilihan rakyat, bukan nepotisme, kata Amanah

Mohd Anuar menyambut baik sokongan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz kepada Anwar dalam PRK Port Dickson kelak.

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) menyelar dakwaan sesetengah pihak yang menganggap pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengamalkan politik nepotisme apabila mahu kembali semula ke Parlimen.

Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir sebaliknya berkata, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan anaknya Nurul Izzah dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu, bukannya membabitkan pihak berkepentingan tertentu.

“Kalau orang benci dia, tentu isteri dan anaknya juga tidak menang dalam pilihan raya,” kata beliau.

“Siapa kamu untuk persoalkan pilihan rakyat? Kalau kata ini nepotisme, mereka semua tidak akan terpilih.

“Ini demokrasi, ada keluarga lain juga terlibat dalam politik, ayah dan anak, bukan Anwar sahaja,” katanya dalam sidang media di Wisma Amanah, hari ini.

Hari ini, peguam Datuk Ambiga Sreenevasan memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) supaya berhati-hati dengan amalan nepotisme berikutan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang diadakan semata-mata bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Parlimen.

Terdahulu, sebaik sahaja Anwar diumumkan bakal bertanding di kerusi Parlimen tersebut, aktivis Siti Zabedah Kasim menggesa pengundi supaya tidak mengundi beliau dan membiarkan pembangkang memenangi pilihan raya kecil tersebut.

Siti Kasim berkata, PKR dan keluarga Anwar mesti “diberi pengajaran” kerana ini kali ketiga mereka terlibat dalam pilihan raya yang disenagajakan bagi memberi laluan kepada pemimpin utama PKR itu.

Rabu lalu PKR mengumumkan Anwar bertanding di Parlimen Port Dickson selepas kerusi itu dikosongkan oleh penyandangnya Danyal Balagopal bagi membuka laluan kepada beliau kembali ke Parlimen.

Semalam Wan Azizah dilaporkan berkata, tidak timbul isu nepotisme membabitkan keluarganya kerana mereka semua dipilih oleh rakyat.

“Ada masalah ke? Saya fikir kami dipilih oleh rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita.

PH dilaporkan mempunyai persefahaman bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kuasa kepada penggantinya, Anwar, selepas tempoh masa tertentu.

Anwar merupakan pilihan pertama gabungan itu untuk jawatan perdana menteri.

Kali terakhir Anwar bertanding ialah dalam pilihan raya ke-13 di kerusi Parlimen Permatang Pauh. Beliau kemudiannya menjalani hukuman penjara apabila Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan sabitan bagi kesalahan liwat.

Anwar diberi pengampunan Diraja sejurus selepas PH membentuk kerajaan pada 9 Mei, membolehkan beliau kembali aktif berpolitik.

Dalam pada itu, Mohd Anuar menyambut baik sokongan Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz kepada Anwar dalam PRK Port Dickson kelak.

Katanya Nazri berhak menyokong sesiapa sahaja mengikut sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Jangan ada sesiapa yang dianiaya disebabkan kenyataannya itu.

“Nazri berhak buat kenyataan tersebut sebab dia kenal Anwar kerana pemimpin itu merupakan ‘seniornya’ di Maktab Melayu Kuala Kangsar, jadi pandangan itu hak dia,” katanya lagi.

Semalam, Nazri melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh isterinya di laman Instagram menyatakan sokongan kepada Anwar, malah akan turun berkempen untuk pemimpin itu dalam PRK yang akan diadakan.

Bekas menteri pelancongan itu juga berpendapat Umno tidak akan dapat memenangi kerusi tersebut, justeru mereka perlu membiarkan PKR menukar Ahli Parlimennya di situ.