Ringgit mengukuh berbanding dolar AS

Ringgit mungkin mencecah paras lebih tinggi sekiranya sentimen risiko meningkat dan memacu minat terhadap mata wang pasaran sedang pesat membangun. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini ketika para pelabur mengharapkan pengumuman Indeks Harga Pengguna (IHP) lebih positif bagi Ogos.

Pada 9 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.1380/1420 berbanding dolar AS daripada 4.1430/1460 sewaktu ditutup semalam.

Penganalisis penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga berkata data IHP bagi Ogos dijangka meningkat sebanyak 1.5% turut mencetuskan minat kalangan pelabur.

Namun, walaupun ringgit boleh mencecah paras lebih tinggi jika terbukti ia melebihi jangkaan atau akibat perkembangan membabitkan inflasi, unit tempatan itu kekal sensitif kepada faktor luaran.

“Ringgit mungkin mencecah paras lebih tinggi sekiranya sentimen risiko itu meningkat dan memacu minat terhadap mata wang pasaran sedang pesat membangun. Ini ditambah lagi dengan tindakan pelabur yang mengambil untung berikutan peningkatan dolar AS,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit kebanyakannya diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang lain.

Ia susut sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0193/0229 daripada 3.0181/0216 pada Khamis dan meningkat berbanding yen kepada 3.6923/6969 daripada 3.7170/7204.

Ringgit rendah berbanding euro kepada 4.8373/8428 daripada 4.8129/8168 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.4262/4322 daripada 5.4066/4126.