Shafee ‘sangat mahu’ jadi peguam negara, kata Dr M

PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sangat mahu menjadi peguam negara.

Beliau berkata Shafee datang berjumpa dengannya dan memberitahu peguam negara ketika itu, Tan Sri Gani Patail, tidak boleh menang dalam rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pensabitan Liwat II.

“Saya kata jika anda fikir anda boleh menang, kamu jumpa Najib lah. Pada masa itu hubungan saya masih baik dengan Datuk Seri Najib Razak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPBM di Menara Yayasan Selangor hari ini.

Shafee sebelum ini mendedahkan dia dilantik mengetuai pendakwaan dalam rayuan Anwar terhadap pensabitan liwat pada 2015 atas gesaan Dr Mahathir kerana tidak meyakini kecekapan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Peguam terkenal itu membuat pendedahan tersebut dalam kenyataan hari ini, menjawab afidavit seorang pegawai di AGC yang didedahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shafee menceritakan latar belakang kepada pelantikan ad hoc tersebut, 2 hari selepas Siti Rahayu Mohd Mumazaini, 34, mengeluarkan afidavit mendakwa 2 cek bernilai RM9.5 juta dikeluarkan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kepada peguam itu.

Dr Mahathir secara berseloroh berkata kata-kata Shafee seolah beliau sangat sayang padanya.

“Anda fikir sekarang saya lawan Najib kerana saya sangat menyayangi Shafee?” katanya sambil tertawa.

Anwar tahun lepas memfailkan tuntutan untuk menggugurkan pensabitan liwat, mengatakan dia tidak diberi perbicaraan yang adil, dan mengatakan ada bayaran sehingga RM9.5 juta yang didakwa daripada Najib.

Shafee sebelum ini menepis dakwaan tentang beliau menerima RM9.5 juta daripada Najib sebagai “mengarut”.

Mahkamah Tinggi pada November tahun lepas membatalkan tuntutan itu, mengatakan Anwar tidak menunjukkan bukti yang menyokong dakwaannya.

Anwar menggesa pihak bertanggungjawab mempertimbangkan langkah-langkah memperbetul keadaan bagi memulihkan integriti sistem perundangan negara susulan pendedahan afidavit itu.

Anwar berkata afidavit Siti Rahayu membuktikan dakwaannya tentang pembayaran kepada Shafee.