Terlalu awal untuk bekerjasama dengan PKR, kata Bung Mokhtar

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Bung Moktar berkata, tidak ada perundingan antara Umno dengan PKR. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin menafikan mengetahui apa-apa tentang rancangan dalam kalangan ahli Umno untuk bekerjasama dengan presiden PKR dipilih, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada FMT, Bung berkata beliau tidak faham apakah yang dimaksudkan oleh bekas menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz apabila beliau menyebut tentang rancangan Ahli Parlimen Umno berhubung isu itu.

Nazri, yang merupakan Ahli Parlimen Padang Rengas, dilaporkan berkata beliau akan berkempen bagi memastikan kemenangan Anwar dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson yang bakal diadakan dan menyebut tentang “persamaan fikiran dalam kalangan Ahli Parlimen Umno” bahawa mereka perlu menunjukkan sikap baik terhadap PKR.

Menurut laporan media, Nazri menolak kenyataan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa parti itu akan menentang Anwar habis-habisan. Beliau percaya katanya, pendirian Mohamad itu bukanlah keputusan Umno, dan Mohamad, yang bukan Ahli Parlimen, tidak tahu “apa yang dirancang oleh Ahli Parlimen”.

Bung Mokhtar, yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, tidak ada perundingan dengan PKR dan menambah bahawa satu-satunya rancangan yang diketahuinya ialah usaha mencari jalan untuk memperkuatkan Umno.

Beliau berkata, sebagai ketua Umno bahagian, Nazri tidak boleh berkempen untuk parti lain.

Bagaimanapun katanya, Umno bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti, termasuk PKR dan Anwar, yang disifatkannya sebagai “pemimpin hebat”.

“Saya kenal rapat Anwar dan negara beruntung jika beliau menjadi perdana menteri. Jika beliau bersedia bekerja dengan kita, kita juga bersedia bekerja dengannya. Akan tetapi buat masa ini tidak ada rancangan ke arah itu.”

Seorang lagi pemimpin Umno, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Naina Merican berkata, semua ahli perlu mematuhi keputusan dibuat kepimpinan parti.

“Semua orang ada pendapat,” katanya. “Nazri ada pendapat, dan ia mungkin tidak sama dengan pendirian parti.”

Beliau menyebut tentang masalah dalaman PKR dan keperluan membenarkan politik dalam negara stabil terlebih dahulu sebelum berfikir tentang kemungkinan untuk bekerjasama dengan parti pimpinan Anwar itu.

“Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan timbalan beliau Mohamad Hasan, tentu tahu haluan terbaik untuk parti,” katanya.

PRK Port Dickson, yang keempat selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas, akan diadakan berikutan peletakan jawatan penyandang kerusi itu Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang berkata beliau mahu memberi laluan kepada Anwar kembali ke Dewan Rakyat.