Umno tak perlu bertanding di PD, kata bekas orang kuat Anwar

Ruslan Kassim berkata membiarkan Anwar Ibrahim bertanding dan menang PRK Port Dickson membuktikan berlakunya nepotisme dalam PH.

PETALING JAYA: Individu yang pernah rapat dengan presiden PKR, Datuk Ruslan Kassim berpendapat Barisan Nasional (BN) khususnya Umno seharusnya tidak melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

“Untuk mengelakkan pembaziran masa, wang dan sebagainya, bagi sahaja dia menang percuma dan dia dah menang pun. Di peringkat Pusat pun dia dah menang, negeri pun dah menang,” katanya kepada FMT.

Menurut Ruslan, beliau turut melihat “trend” 3 penggal dalam pilihan raya yang lalu apabila PKR meletakkan calon yang tidak terkenal membolehkan mereka menang kerusi Port Dickson.

“Tokoh yang tak terkenal pun boleh menang, inikan pula tokoh yang sehebat Anwar Ibrahim. Pada saya, orang Negeri Sembilan kata ‘membuang boreh’ BN tanding di situ.”

Tegasnya, Umno juga tidak akan menang di kawasan Port Dickson jika menyoroti peristiwa lalu.

“Dalam keadaan Umno memerintah Malaysia dulu, Umno memerintah Negeri Sembilan pun dia tak menang (Port Dickson), ini pula dalam keadaan Umno tak memerintah Malaysia dan tak memerintah Negeri Sembilan,” kata Ruslan yang pernah berdiri di belakang Anwar sewaktu pemimpin PKR dipecat daripada kerajaan pada 2 November 1998.

Ruslan juga antara individu yang bersama-sama menubuhkan PKR bersama Anwar dan turut ditahan bersama-sama presiden PKR itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketua Penerangan Perkasa itu menambah, membiarkan Anwar bertanding dan menang dalam PRK Port Dickson juga membuktikan berlakunya nepotisme dalam Pakatan Harapan (PH).

Katanya, akan berlaku tohmahan kepada PH bahawa gabungan 4 parti itu merupakan parti anak-beranak.

“Lim Kit Siang dengan anak dia, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan anak dia, Anwar dengan anak bininya, itu yang nampaknya.

“Dia (Anwar) menambahkan peluru kepada pembangkang untuk menyatakan parti PH ini parti anak beranak,”

Sebelum ini, Datuk Danyal Balagopal Abdullah menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding di kawasan itu.

Danyal memenangi kerusi Port Dickson dengan 36,225 undi pada 9 Mei lalu, menewaskan VS Mogan daripada Barisan Nasional (18,515 undi) dan calon PAS, Mahfuz Roslan (6,594 undi).

Ruslan sebelum ini pernah bertanding dalam PRK Teluk Kemang (kini dikenali Parlimen Port Dickson) mewakili PKR pada 10 Jun 2000 melawan wakil dari BN, S Sothinathan yang kemudiannya kerusi berkenaan dimenangi Sothinathan dengan majoriti 5,972 undi.

Kenapa isteri, anak Anwar tak setia

Bagi aktivis sosial, Hishamuddin Rais, beliau terkejut dengan keputusan Anwar memilih untuk bertanding di Port Dickson.

Beliau juga mempersoalkan mengapa isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah tidak berundur daripada kerusi masing-masing.

“Kerana mengikut kata (Naib Presiden PKR) Rafizi Ramli kesetiaan terbukti apabila mereka berkorban untuk Anwar Ibrahim, jadi kenapa di Port Dickson? Kenapa tidak kerusi Nurul Izzah (Permatang Pauh)? kenapa tidak kerusi Wan Azizah (Pandan)?

“Atau tidak kerusi Datuk Johari Abdul (Sungai Petani)? Atau kerusi Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (Kapar) dan kenapa tidak kerusi Fuziah Salleh (Kuantan)? Mereka ini menawarkan kerusi… jadi saya pelik.

“Kerana Rafizi kata berkorban kesetiaan adalah berkorban untuk Anwar, kenapa anak isteri dia tak setia?” soalnya.

Hishamuddin turut berpendapat jika kerusi Port Dickson menunjukkan peningkatan berbanding pilihan raya umum ke-14 (PRU14), ia membuktikan sokongan kepada presiden PKR itu kukuh.

“Kalau ianya kurang daripada jumlah PRU14, ertinya ada sesuatu yang tak kena terhadap sokongan Anwar Ibrahim.”