Zakaria harap dapat tinggalkan FGV secara baik

KUALA LUMPUR: Setelah berkhidmat dengan kumpulan Felda selama 35 tahun, presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Kumpulan FGV Holdings Bhd, Datuk Zakaria Arshad, berharap dapat meninggalkan syarikat secara baik.

Malangnya, perkara itu tidak berlaku berikutan pengumuman baru-baru ini oleh lembaga pengarah untuk menggantungnya mulai Rabu lepas.

FGV dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia berkata, notis dikeluarkan kepada Zakaria berikutan selesainya siasatan dalaman ke atas 10 isu kritikal yang mengakibatkan kerugian kewangan bagi FGV dan pemegang saham.

Dilaporkan sehingga 7 daripada isu ini berkaitan anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd, bersabit pembayaran dan penyerahan barang yang melibatkan pelanggan yang berpangkalan di Afghanistan, Safitex Trading LLC.

Ketika dihubungi Bernama hari ini, Zakaria berkata, setakat ini, beliau akan mematuhi keputusan yang dibuat pihak pengurusan.

“Saya tidak mahu melawan dan saya akan akur keputusan lembaga pengarah. Cuma apa yang saya minta mereka pertimbangkan keputusan tersebut memandangkan tempoh kontrak saya yang bakal tamat pada Mac 2019, iaitu hanya beberapa bulan sahaja lagi,” katanya.

Zakaria, yang merupakan anak kepada seorang peneroka Felda dari Felda Palong 1, Negeri Sembilan berkata, tidak bercadang untuk kembali ke FGV selepas kontraknya tamat dan akan berehat daripada industri berkenaan.

Untuk rekod, Zakaria, 58, mengambil alih jawatan presiden dan CEO Kumpulan FGV pada 1 April 2016, daripada Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah.

Bagaimanapun, beliau digantung daripada tugas pada Jun 2017 ketika kumpulan tersebut menyiasat dakwaan penyelewengan melibatkan urusan tertentu di Delima Oil Products dan ini kali kedua dalam tempoh 15 bulan perkhidmatannya digantung.

Bagaimanapun, FGV beroperasi seperti biasa setelah menubuhkan jawatankuasa lembaga pengarah khas yang dianggotai Pengerusi Datuk Azhar Abdul Hamid dan 3 lagi ahli lembaga pengarah iaitu Datuk Dr Salmiah Ahmad, Dr Mohamed Nazeeb P Alithambi dan Datin Hoi Lai Ping

Penggantungan tugas Zakaria dilakukan selepas Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MoF Inc menarik balik namanya sebagai pengarah lantikan kerajaan di syarikat pengeluar minyak sawit mentah terbesar di dunia itu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FGV menyatakan, pemberhentian itu berkuat kuasa sebaik syarikat berkenaan menerima surat daripada MoF Inc, pemegang saham khas FGV pada 12 September 2018, menarik balik nama Zakaria sebagai pengarah lantikan kerajaan dalam melaksanakan perlembagaan baharu FGV, yang diluluskan oleh pemegang sahamnya pada 28 Jun 2018.

“Pemberhentian itu selaras dengan Klausa 89(3) perlembagaan baharu FGV,” kata makluman itu.

Apa pun, pemerhati industri kebingungan.

Mereka memahami pemberhentian Zakaria sebagai pengarah FGV sebagai normal dan selaras dengan perlembagaan, bagaimanapun pengumuman penggantungan jawatan itu satu kejutan.

Mereka berkata, hanya pengerusi yang boleh mengulas berhubung tindakan yang diambil, bagaimanapun, Azhar tidak dapat dihubungi.

Beliau menjadi pengerusi FGV selama setahun daripada 8 September 2017.

Ditanya jika kedua-dua mereka mempunyai hubungan pekerjaan yang baik, Zakaria berkata: “Kami sebenarnya sangat rapat pada mulanya.

“Saya menghormati beliau, dengan pengalamannya yang luas dalam sektor korporat, yang mana saya tidak mendapat pendedahan yang banyak sepertinya, saya berharap kami akan dapat memanfaatkan kepakaran kami untuk kebaikan syarikat,” katanya.

Zakaria juga tidak pasti jika penggantungannya dibuat kerana jawatan itu merupakan lantikan politik oleh kerajaan terdahulu.

“Saya tidak begitu pasti sama ada ia berkaitan pelantikan oleh kerajaan sebelum ini. Sememangnya, FGV bawah kerajaan semasa, jadi sudah tentu kita perlu mengikutnya, namun di luar, saya bukanlah individu yang aktif dalam politik.

“Saya kena reda kalau dah memang didapati bersalah,” katanya.

Penganalisis perladangan dari Public Investment Bank, Chong Hoe Leong berkata, lebih baik sekiranya syarikat tersebut dapat menyelesaikan perkara terbabit secepat mungkin.

“Namun buat masa ini, saya berpendapat keadaan itu tidak akan memberi banyak kesan ke atas operasi syarikat. Ia merupakan syarikat berkaitan kerajaan, oleh itu sebarang perubahan dalam landskap politik akan memberi sedikit kesan kepada syarikat itu sendiri.

“Sudah pasti, inilah risiko yang sentiasa disedari pasaran, yang kita akan saksikan, sementara menunggu siasatan daripada pihak pengurusan atasan,” katanya.

Saham FGV merosot sejak tawaran awam awal US$3 bilion pada RM4.55 sesaham pada 2012.

Hari ini, kaunter itu ditutup pada RM1.55 sesaham dengan 2.49 juta saham diniagakan.