Zuraida alu-alukan Nazri bantu Anwar di PD

Zuraida Kamaruddin melawat kawasan kejadian kanak-kanak maut terjatuh dari tingkat 17 di PPR Kota Damansara.

PETALING JAYA: Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mengalu-alukan hasrat ahli parti politik lain membantu presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Beliau berkata, jika ada individu dari parti lain sukarela membantu Anwar, beliau juga dengan sukarela menerima hasrat tersebut.

“Kalau dia sukarela nak bantu, saya pun sukarela. Jadi, bantu lah kalau mahu,” katanya ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz yang akan menyokong Anwar pada PRK Port Dickson.

Bekas menteri pelancongan itu juga berpendapat Umno tidak akan dapat memenangi kerusi itu, maka mereka perlu membiarkan PKR menukar ahli parlimen di Port Dickson.

Kata Nazri, beliau akan tetap berkempen untuk Anwar meskipun Umno akan mencabar pemimpin PKR itu di Port Dickson.

Mengulas lanjut, Zuraida menganggap perkara itu adalah sesuatu yang biasa berlaku dalam arena politik.

“Ini lah politik. Kita tak boleh jangka.

“Ada masa ini bantu ini, ada masa lain pula, biasa lah tu, politik,” jelasnya.