Anwar: Singapura destinasi pertama saya selepas jadi PM

PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyuarakan kepentingan Singapura kepada Malaysia dan menolak sebarang kemungkinan timbul masalah antara kedua-dua negara.

“Saya sejujurnya tidak percaya ada masalah (antara kedua-dua negara),” katanya dalam S Rajaratnam Endowment Dialogue, sebahagian daripada Sidang Kemuncak Singapura 2018 di republik itu, hari ini.

Sidang Kemuncak Singapura ialah anjuran Temasek Foundation Connects dengan sokongan Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura, GIC Pte Ltd, Kementerian Kewangan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perdagangan dan Industri, Pihak Berkuasa Monetari Singapura dan Temasek.

Anwar turut berjanji kepada hadirin yang termasuk bekas perdana menteri Singapura, Goh Chok Tong dan Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Holdings, Ho Ching, yang juga isteri kepada perdana menteri sekarang, Lee Hsien Loong.

“Sekiranya dan bila saya mengambil alih jawatan perdana menteri, saya akan pastikan negara pertama yang saya lawat adalah Singapura,” katanya dipetik Bernama.

Terdahulu, Anwar dalam ucapannya berkata, beliau optimistik Malaysia boleh menjadi kuasa ekonomi baru di rantau ini.

Katanya, keyakinan tinggi itu bersandarkan “dasar Malaysia yang kukuh dan persekitaran perniagaan yang stabil dan bersih”.

“Dengan adanya kedaulatan undang-undang…dan institusi yang demokrasi…saya percaya, Insya Allah Malaysia akan muncul sekali lagi sebagai kuasa ekonomi yang menjadi contoh,” katanya.