Bajet 2019: Jangan potong peruntukan 3 sektor, pakar ekonomi ingatkan PH

Gambar Bernama.

PETALING JAYA: Sektor pendidikan, kesihatan dan kebajikan tidak harus dilibatkan dalam sebarang langkah penjimatan, kata seorang pakar ekonomi berhubung bajet pertama pentadbiran baru berikutan perubahan kerajaan selepas pilihan raya umum Mei lalu.

Sebaliknya kata Prof Yeah Kim Leng dari Sekolah Perniagaan Universiti Sunway, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengurangkan perbelanjaan dengan memotong peruntukan sektor pertahahan dan memastikan subsidi bahan api hanya diberikan kepada kumpulan yang layak.

Yeah berkata, langkah pemotongan peruntukan harus dihadkan kepada bajet 2019 sahaja.

“Pemotongan bajet satu tahun sudah memadai untuk kerajaan pulih daripada beban hutang negara. Bermula tahun depan, kerajaan boleh menikmati bajet lebih baik,” katanya kepada FMT.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata bajet kerajaan persekutuan akan tertakluk kepada langkah penjimatan berikutan jumlah hutang negara mencecah angka RM1 trilion.

Yeah berkata, langkah berjimat cermat hendaklah dilakukan secara selektif terutama sekali apabila ia melibatkan infrastruktur.

“Laksanakan projek yang memerlukan perhatian segera seperti menaik taraf lapangan terbang atau jalan raya,” katanya dan menambah kerajaan boleh meneruskan langkah berjimat itu ke tahun depan.

Beliau berkata, projek yang akan merangsang pertumbuhan pasaran dan mencipta peluang pekerjaan perlu diberi keutamaan.

Yeah berpendapat kerajaan perlu berhemah dalam isu emolumen dan berkata, saiz pentadbiran awam hendaklah dikawal.

“Kerajaan boleh mengamalkan dasar pertukaran dalaman bagi memenuhkan kekosongan jawatan pegawai yang bersara,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan pembayaran hutang dalam bajet kerajaan persekutuan hendaklah dikurangkan ke paras angka tunggal supaya kerajaan tidak berbelanja terlalu banyak untuk tujuan itu.

“Semakin sedikit peruntukan untuk membayar hutang, semakin banyak pula peruntukan yang boleh disediakan untuk rakyat.”