Lemah kuasai media sosial punca PAS kalah PRU 14, kata Hadi

Abdul Hadi berkata kelemahan penguasaan media sosial juga menyebabkan mesej parti itu kepada masyarakat bukan Islam serta pengundi muda gagal mencapai sasaran.(Gambar Facebook)

KUALA NERUS: PAS mengakui kelemahan jenteranya menguasai media sosial menjadi punca kekalahan parti itu pada pilihan raya umum ke-14 9 Mei lalu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perkara itu terkandung dalam laporan bedah siasat yang dijalankan terhadap pencapaian PAS yang mengambil kira pandangan semua pihak termasuk ahli akademik, tokoh masyarakat dan badan pemikir dari dalam serta luar negara.

“PAS dan rakan Gagasan Sejahtera turun ke gelanggang pilihan raya umum di padang yang tidak sama rata berbanding Barisan Nasional (BN) yang menguasai kelebihan media, jentera dan kewangan.

“Serta bersaing dengan Pakatan Harapan (PH) yang menguasai kelebihan media sosial tanpa batasan akhlak dan moral. Dalam keadaan serba kekurangan PAS berjaya mempertahankan Kelantan dan mengambil semula Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS Ke 64 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, hari ini.

Antara tetamu yang hadir memenuhi undangan julung kali ke muktamar itu ialah Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan rombongan pimpinannya.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata kelemahan penguasaan media sosial juga menyebabkan mesej yang ingin disampaikan oleh parti itu kepada masyarakat bukan Islam serta pengundi muda gagal mencapai sasarannya.

Cabaran itu sekali gus menuntut PAS melipat gandakan persediaan dan tindakan secara lebih strategik bagi memastikan agenda kemenangan pada pilihan raya umum dalam tempoh 5 tahun lagi dapat dicapai.

“Dewan Pemuda mestilah sentiasa dinamik, melengkapkan diri dengan ilmu silam, bersedia menyambung legasi perjuangan kepimpinan, pendekatan dakwah yang kreatif dan penguasaan media sosial.

“Lapangan anak muda (media sosial) perlu dimanfaatkan untuk membawa mesej Islam, mendepani isu nasional dan antarabangsa serta mengemukakan solusi terhadap permasalahan rakyat serta anak muda,” katanya.

Selain itu, beliau juga menggesa supaya media rasmi seperti Harakah, Harakahdaily, HijauFM memainkan peranan lebih agresif dan disokong semua peringkat bagi menangani fitnah serta kerosakan yang dilemparkan oleh media sosial lawan.