Hadi: PAS sedia lawan Anwar di PD jika Umno tarik diri

Hadi berkata, atas prinsip demokrasi PAS sedia hadapi pandangan berbeza.

KUALA NERUS: PAS tidak akan memberi kemenangan percuma kepada pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Port Dickson yang bakal diadakan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti Islam itu sedia meletakkan calon untuk bertanding di kerusi berkenaan sekiranya Umno memutuskan untuk tidak meletakkan calon walaupun setelah diberi laluan oleh PAS.

“Kita tidak akan beri kemenangan percuma, kalau tidak ada orang bertanding, PAS boleh bertanding, sekurang-kurangnya kita boleh adakan latihan bersama untuk pilihan raya, menang kalah itu cerita lain.

“Atas prinsip demokrasi kita sanggup hadapi pandangan berbeza,” katanya ketika diminta mengulas ura-ura Umno tidak akan meletakkan calon bertanding menentang Pakatan Harapan (PH) yang dijangka akan mempertaruhkan Anwar di situ.

Hadi berkata demikian dalam satu sidang media selepas majlis perasmian Muktamar PAS kali ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan dan Mursyidul Am, Hashim Jasin.

Sebelum ini PAS memutuskan tidak akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Port Dickson sekali gus memberi laluan kepada Umno untuk menentang calon kerajaan dalam pertandingan 1 lawan 1.

Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk ke Dewan Rakyat.

PH dilaporkan mempunyai persefahaman iaitu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar, selepas tempoh masa tertentu.