Hadi puji Dr M berubah sikap, layan PAS lebih baik kini

KUALA NERUS: PAS mengakui layanan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap mereka lebih baik berbanding kali pertama beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun, berdasarkan kesudiannya memberi royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu yang ditadbir parti Islam itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melihat perubahan sikap Dr Mahathir yang keras dahulu kepada sikap lebih lembut selepas diberi kuasa untuk menerajui negara buat kali ke-2 pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

“Suasana masyarakat berubah, keadaan berubah, pemikiran beliau juga berubah. Pengalaman beliau lebih banyak lagi dan beliau belajar daripada kelemahan dulu.

“Kita jangka beliau lebih matang sebab itu beliau janji hendak beri balik royalti kepada Kelantan dan Terengganu, sikap beliau lebih baik dari dahulu,” katanya selepas perasmian Muktamar PAS ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, hari ini.

Kerjasama dengan PH

Hadi sekali lagi mengulangi kesediaan PAS bekerjasama dengan mana-mana parti politik, termasuk Pakatan Harapan (PH), tetapi ada syaratnya.

“Negara demokrasi kita tidak berperang, sekiranya parti lain menerima agenda Islam kita secara positif, maka akan berlaku kerjasama dan perkara lebih baik berlaku.

“Politik ini kemungkinan kawan jadi lawan, lawan jadi kawan.

“(Tetapi) kita ada prinsip kita sebab itu apabila DAP tekan kita tinggalkan dasar Islam, kita berpisah dengan mereka, kita boleh kerjasama menentang kezaliman, salah guna kuasa, tapi minta kita tinggalkan dasar itu tidak boleh.”

Mengulas kerjasama dengan Umno, ahli Parlimen Marang itu berkata, Majlis Syura Ulama akan membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Setakat ini, (perbincangan kerjasama dengan Umno) oleh Syura belum lagi berjalan, itu satu andaian sahaja, bila betul nak berlaku, Majlis Syura akan putuskan adakah ia menepati dasar atau tidak.”

Terdahulu, Hadi dalam ucapan dasarnya berkata, PAS menerusi Majlis Syura Ulama akan membuat keputusan dasar dan merangka strategi politik serta hala tuju parti berdasarkan kepentingan semasa.

“Ia memerlukan kebijaksanaan ahli Majlis Syura Ulama dan ahli Jawatankuasa PAS Pusat untuk menentukan sikap dan pendirian PAS dengan penuh hikmah, mengikut mandat dan kepentingan semasa agar tidak tergelincir daripada dasar, prinsip dan matlamat perjuangannya.”

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada hala tuju politik itu melibatkan kerjasama PAS dan Umno bagi menghadapi kerajaan PH pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, PAS akan mengekalkan perjuangannya berlandaskan hukum Islam dan menguasai fiqah politik Islam bagi menghadapi perubahan masyarakat serta senario politik semasa.

“Khususnya Fiqh Muwazanah (pertimbangan), Fiqh Waqie’ (setempat), Fiqh Aulawiyyat (keutamaan) dan Fiqh Ma’alat (implikasi hukum) bagi memastikan PAS sentiasa berada di atas landasan kebenaran.

“PAS tetap berterus terang bersama Islamnya. PAS tidak terikut dengan langkah pengecut yang malu menyebut Islamnya dan PAS juga menolak pendekatan keras tanpa kebijaksanaan.

“PAS tetap mengambil pendekatan politik damai dengan semua pihak, termasuk musuh dan lawan kerana inilah caranya untuk meramaikan ahli dan penyokong, serta menjadi rahsia ketahanan PAS.”