Janji kerajaan PH beri royalti pulih semangat federalisme, kata Hadi

Hadi berkata beliau positif dengan langkah Putrajaya kembalikan hak Kelantan dan Terengganu.

KUALA NERUS: PAS berpegang kepada janji yang dibuat Putrajaya pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengembalikan semula royalti petroleum kepada Kelantan dan Terengganu setelah ia dinafikan sekian lama.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau sangat positif dengan langkah kerajaan pusat mengembalikan hak kedua-dua negeri itu.

Katanya, langkah itu juga dapat menghidupkan semula semangat federalisme yang hampir “mati” sebelum ini.

“Agenda terpenting negara adalah melaksanakan konsep federalisme yang termaktub dalam Perlembagaan. Kenyataan perdana menteri untuk mengembalikan royalti petroleum yang tidak diberi kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu, diucapkan terima kasih dan sangat positif kepada usaha untuk menghidupkan semangat federalisme yang dilemahkan dahulu.

“Diharapkan banyak lagi ruang diberi kepada kerajaan negeri khususnya dalam aspek peruntukan pembangunan, kemudahan prasarana dan peluang pelaburan yang seimbang, tanpa mengira perbezaan politik,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar perasmian Muktamar PAS kali ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.

Dalam ucapannya Hadi berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) terus membuka peluang kepada PAS untuk membawa Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (RUU355) sepertimana yang dilakukan kerajaan sebelum ini.

“Terdahulu, PAS melihat ada ruang yang boleh digunakan untuk mengangkat kuasa Mahkamah Syariah sebagai teras kepada pelaksanaan undang-undang.

“Maka PAS mengambil usaha untuk membawa RUU355 di Parlimen sejak 2016. Kini terletak di tangan kerajaan baru untuk menentukan sikap terhadap RUU tersebut,” katanya.

“Di pihak PAS, kerajaan Kelantan dan Terengganu sentiasa bersedia untuk berbincang dan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan bagi menjayakan hasrat yang didukung sekelian umat Islam ini, di samping membuka pintu dialog kepada ahli akademik dan NGO untuk lebih memahami agenda besar yang dibawa oleh PAS ini,” kata beliau.

Turut hadir ke majlis perasmian muktamar itu ialah Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Penerangan, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, serta sayap Wanita dan Puteri parti tersebut.

Terdahulu Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad menghadiri perasmian muktamar 2 sayap parti itu.