Kerjasama PAS-Umno demi daulatkan Islam, kata perwakilan

Mohd Akmal Kamaruddin berkata, pihak yang mendaulatkan Islam ialah kawan PAS.

KUALA NERUS: PAS bekerjasama dengan Umno bukan untuk menyelamatkan parti itu, sebaliknya mereka berkongsi perjuangan sama demi mendaulatkan Islam, kata perwakilan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin.

“Ada pihak mengatakan bila Umno sudah hendak mati, kenapa PAS nak beri nafas kepada Umno. Kita berjuang bukan kerana Umno, tapi kita berjuang untuk daulat Islam, siapa sahaja setuju mendaulatkan Islam, maka ia adalah kawan PAS.

“Siapa menutup harapan mendaulatkan Islam, maka mereka adalah musuh PAS,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presidennya di Muktamar PAS ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, hari ini.

Beliau turut melabelkan kerajaan Pakatan Harapan sebagai Barisan Nasional 2.0 kerana gagal menjaga kebajikan rakyat.

Sementara itu, Akmal membidas kepura-puraan PKR dan DAP yang berpaling muka serta menyerang PAS selepas memutuskan kerjasama politik dengannya.

Beliau merujuk serangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan DAP terhadap pemimpin PAS.

“Apa yang Anwar tidak kata kepada tok guru Nik Aziz sebelum berlaku kerjasama, tetapi selepas berlaku kerjasama tiba-tiba Anwar puji tok guru. Beliau pernah kata tok guru jumud dan sebagainya.

“Begitu juga kita lihat bila DAP bersama kita, doa mereka baca, ayat Quran baca tiba-tiba jadi baik bila berkawan dengan PAS,” katanya menyindir bekas sekutu dalam Pakatan Rakyat.

“Sebab saya nak beritahu sejarah telah menunjukkan siapa sahaja bekerjasama dengan PAS tiba-tiba mereka berubah, selepas mereka tidak berkawan dengan PAS, mereka kembali menjadi jahat dan cacamarba.”