Malaysia perlu kaji amalan negara maju tangani soal penduduk tua

PUTRAJAYA: Malaysia perlu mengkaji amalan di negara lain, terutamanya negara maju dalam menangani soal penuaan penduduk, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita menuju ke arah itu, di mana terdapatnya penduduk yang mencapai usia tua. Bagaimana kita menjaga mereka? Ini bukan cuma soal memberikan mereka tempat berlindung, tetapi menjadikan mereka sentiasa aktif kerana jika tidak aktif, mereka akan beransur-ansur pudar.

“Kebanyakan masyarakat maju mempunyai dana bagi membantu orang tua, mereka yang tidak mampu mencari nafkah dan mereka yang memerlukan penjagaan.

“Perkara itu boleh ditangani menerusi sumbangan insurans ketika mereka masih bekerja…hampir serupa seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Bagaimanapun, amaun KWSP tidak mencukupi bagi perlindungan dalam jangka panjang kerana orang tua sekarang mempunyai jangka hayat lebih panjang,” katanya dalam temubual bersama Persatuan Third Age Media dan Bernama News Channel baru-baru ini.

Temubual penuh akan ke udara di BNC 11.30 malam ini dan menerusi Astro 502, Unifi TV 631, MYTV 121 serta boleh diakses menerusi www.bernama.com, Facebook dan YouTube.

Jangka hayat rakyat Malaysia purata 75 tahun dan seseorang memerlukan simpanan untuk 15 hingga 20 tahun selepas persaraan.

Kajian Insured Retirement Institute (IRI) pada awal tahun ini mendedahkan kurang 25% mereka yang bekerja percaya mempunyai wang mencukupi bagi menampung keperluan hidup sepanjang tempoh persaraan.

Majoriti mengatakan mereka tidak mampu bersara.

Menurut KWSP, pesara yang membelanjakan sekurang-kurangnya RM800 sebulan untuk 20 akan datang (sehingga 75 tahun) perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM196,800 atau RM200,000.

Dr Mahathir berkata, kajian dilakukan dalam bidang itu bagi menentukan berapa lama simpanan hayat dapat bertahan seperti dilakukan negara lain, terutama negara maju.

Beliau menasihati ibu bapa generasi baru menjaga diri dengan kegiatan aktif dan sibuk kerana tradisi Asia di mana golongan tua mengharapkan anak menyara hidup dalam usia emas nampaknya kian terhakis.

Untuk kekal aktif, golongan tua harus libatkan diri dalam perbincangan secara berkumpulan sebagai senaman minda kerana mereka boleh bercakap mengenai perkara atau penelitian mereka terhadap subjek tertentu.

Dr Mahathir yang mendapat pengiktirafan perdana menteri tertua di dunia menjelaskan otot akan merosot jika tidak digunakan dan adalah penting mereka terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti.

“Kecenderungan untuk mereka tidak melakukan apa-apa adalah buruk kerana apabila anda tidak melakukan apa-apa, anda tidak menggunakan otot anda, badan anda dan anda tidak menggunakan minda anda juga.

“Apabila minda tidak berolahraga, ia bertindak dengan cara yang sama seperti otot. Otot renggang, minda juga mundur dan ia menjadi tidak berguna.

“Apabila anda tidur, tentu saja otot-otot tidak berfungsi dan ia menjadi sangat lemah, apabila anda menjadi lemah, anda akan mempunyai kecenderungan tidur lebih banyak, jadi anda akan mundur dalam minda dan badan.

“Jadi, itu yang saya percaya. Ini tidak disokong kajian saintifik. Pemerhatian saya sejak saya mengamalkan kedoktoran bertahun-tahun yang lalu adalah penting untuk menjadi aktif.”

Dr Mahathir berkata, masyarakat perlu mewujudkan cara yang membolehkan orang ramai terlibat secara aktif dalam perkara tertentu dan melakukan kerja amal.