MOE: Pentadbir universiti tidak terlibat pilihan raya MPP mula tahun ini

Universiti awam bebas laksana pilihan raya kampus masing-masing selaras dengan inisiatif amalan pilihan raya bebas, adil dan terbuka. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di semua universiti awam akan diberi kebebasan sepenuhnya dalam menentukan acuan kepimpinan mereka sendiri tanpa penglibatan pihak pengurusan universiti mulai tahun ini.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata sehubungan itu proses dan tatacara pemilihan MPP atau juga dikenali sebagai pilihan raya kampus (PRK) turut akan disemak semula.

“Mesyuarat penyelarasan PRK antara Jabatan Pendidikan Tinggi, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan pegawai undang-undang universiti Awam pada hari ini memutuskan agar tatacara pelaksanaan PRK disemak bagi membolehkan pelajar mengendali proses tersebut secara telus dan bebas.

“MPP akan membawa semangat autonomi dengan kebebasan bersuara sepenuhnya, berpolitik dan berpersatuan dalam memperjuangkan hal ehwal pelajar, kebajikan, akademik, politik mahupun aktiviti tanpa keterlibatan pihak pengurusan universiti,” menurut kenyataan itu.

Semua universiti awam bebas melaksanakan PRK masing-masing setelah membuat perubahan perlu kepada peraturan dan prosedur selaras dengan inisiatif amalan PRK yang bebas, adil dan terbuka.

Menurut kenyataan itu, kementerian turut mengambil kira aspek perubahan yang perlu dilakukan berkaitan proses terbabit, justeru setiap universiti boleh menangguhkan PRK mengikut kesesuaian institusi masing-masing.

Pemilihan MPP adalah proses pemilihan pemimpin pelajar yang dilaksanakan di universiti awam setiap tahun.