PAS bayar peguam di London lebih RM2 juta saman Sarawak Report

KUALA NERUS: PAS membayar lebih RM2 juta kepada peguam yang mewakili Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kes saman fitnah terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, yuran guaman sejak 30 November 2016 hingga Jun lalu itu datang daripada sumbangan pelbagai pihak, termasuk ahli parti Islam itu.

“Jumlah dikutip dimasukkan di bawah satu akaun PAS, jumlah telah dibayar kepada peguam adalah £355,550.82 bersamaan RM2,117,870.85 juta.

“Jumlah tuntutan untuk peguam yang belum dibayar £25,000, tuntutannya masih sama,” katanya ketika berucap dalam Muktamar PAS ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan perwakilan Temerloh berhubung bayaran dikenakan peguam di London.

Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Sarawak Report di Mahkamah Tinggi di London pada 21 April 2017, susulan laporan pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa RM90 juta “dipercayai” dimasukkan ke akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi mereka menyokong Umno dan Barisan Nasional.

Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak menepis dakwaan beliau memberi RM90 juta kepada PAS dan menyifatkan tuduhan itu mengarut.

PAS kemudian melancarkan tabung pada 26 Jun 2017 meminta sumbangan untuk membayar yuran guaman kes itu.

Takiyuddin berkata, keputusan menyaman Sarawak Report bertujuan mempertahankan maruah PAS dan pimpinannya, bukannya untuk mendapat keuntungan.

“Isu saman Sarawak Report bukan isu hendak dapat duit, tapi isu maruah dan fitnah yang dikenakan kepada pemimpin kita.”

Beliau berkata, walaupun kes saman fitnah itu hanya membabitkan Hadi dan Clare, tetapi ia memberi kesan buruk kepada PAS dan pimpinannya, susulan fitnah disebarkan Sarawak Report.

“PAS buat keputusan atas dasar solidariti kepada Hadi yang saman Sarawak Report, kita lancarkan tabung.”

Mei lalu, Mahkamah Tinggi di London menolak permohonan Rewcastle-Brown untuk membatalkan saman fitnah difailkan Hadi antara lain atas alasan menakut-nakutkan saksi.

Mahkamah London turut mengarahkan editor Sarawak Report itu membayar kos £28,900 (RM156,000) kepada Hadi.