Penganalisis: Nazri cuba halang kerjasama Umno-PAS

Sebagai orang yang tidak mempunyai kuasa di peringkat kepimpinan tertinggi Umno, Nazri mungkin cuba menggunakan PRK Port Dickson untuk membetulkan haluan parti itu.

PETALING JAYA: Penganalisis politik bebas berkata, kenyataan terbaru Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyokong pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Port Dickson mungkin merupakan percubaan beliau menggagalkan hubungan Umno dengan PAS.

Dr Kamarul Zaman Yusoff memberitahu FMT, Nazri, yang merupakan Ahli Parlimen Padang Rengas, mungkin tidak bersetuju dengan rancangan Umno untuk bekerjasama dengan PAS selepas pilihan raya umum 9 Mei.

Dua parti pembangkang itu telah secara terbuka menyokong satu sama lain, dan saling berkempen dalam pilihan raya kecil di Sungai Kandis serta Seri Setia baru-baru ini.

Kamarul berkata, Nazri kini mendakwa wujudnya “niat” dalam kalangan Umno untuk bekerjasama dengan PKR.

“Secara tidak langsung beliau menimbulkan keraguan terhadap rakan Umno, iaitu PAS,” katanya, dengan memetik dakwaan bekas menteri pelancongan itu bahawa selepas pilihan raya umum lalu, Ahli Parlimen Umno menandatangani akuan bersumpah membenarkan presiden parti itu, Datuk Seri Zahid Hamidi berunding dengan mana-mana parti dalam usaha merebut semula kuasa di peringkat persekutuan.

Nazri dilaporkan berkata, beliau akan berkempen untuk Anwar dalam pilihan raya kecil Port Dickson yang bakal diadakan dan terdapatnya “persamaan fikiran dalam kalangan Ahli Parlimen Umno” bahawa mereka harus menunjukkan sikap baik terhadap PKR.

Bagaimanapun Ahli Parlimen parti itu seperti Datuk Bung Mokhtar dan Datuk Seri Reezal Naina Merican menolak dakwaan tersebut.

“Beliau (Nazri) fikir sikap mesranya terhadap PKR akan mengakibatkan PAS berfikir semula tentang kerjasama mereka dengan Umno,” kata Kamarul.

Beliau berkata, sebagai orang yang tidak mempunyai kuasa di peringkat kepimpinan tertinggi Umno, Nazri cuba menggunakan pilihan raya kecil Port Dickson untuk membetulkan haluan parti itu.

Kamarul juga mempersoalkan kesahihan dakwaan tentang rancangan Zahid untuk berunding dengan parti seperti PKR bagi menguatkan kedudukan Umno.

Ini kerana kata beliau, sekiranya rancangan itu benar-benar ada, maka Nazri telah merosakkannya dengan mendedahkannya secara terbuka.

Dalam pada itu, pakar geostrategi Dr Azmi Hassan berkata, PKR tidak memerlukan Umno untuk memperkuat kedudukan parti itu kerana ia kini mempunyai anggota Kabinet paling ramai.

Dr Agus Yussof dari UKM juga menolak kenyataan Nazri.

“Itu pendapat peribadinya. Ia tidak akan beri kesan ke atas parti dalam PH,” katanya.

Selepas 3 tahun, Anwar dijangka kembali ke Dewan Rakyat melalui pilihan raya kecil Port Dickson. Pada 2015, beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen selepas dijatuhi hukuman penjara 5 tahun berikutan kes Liwat 2.

Beliau kemudiannya diberikan pengampuna Diraja selepas pilihan raya umum lalu dan kini layak bertanding.