PRK PD: Semua pihak perlu akur keputusan Anwar, kata Mahfuz

Mahfuz berkata, Amanah menyokong penuh pencalonan Anwar di Port Dickson dan akan menyertai kempen pilihan raya kecil itu. (Bernama pic)

ALOR SETAR: Semua pihak dalam Pakatan Harapan (PH) perlu akur dengan keputusan pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, sokongan padu daripada anggota dan kepimpinan parti gabungan adalah perlu jika mahu melihat PH menang seterusnya dapat mempertahankan kerusi Parlimen tersebut.

“Pendirian kita (Amanah) akan terus menyokong sepenuhnya Anwar bertanding di kerusi tersebut dan akan turut menyertai kempen pilihan raya di kawasan itu kerana beliau (Anwar) telah membuat keputusan dan semua pihak harus menghormatinya.

“Memang ada pelbagai komen orang mengenainya, tetapi bagi kita ia adalah komitmen PH yang dicapai sebelum pilihan raya umum ke-14,” katanya pada program Kayuhan Merdeka 2018 di sini, hari ini.

Kira-kira 150 orang peserta menyertai kayuhan dengan jarak 150 kilometer di sekitar Alor Setar.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sikap penyandang kerusi Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang berkorban bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dan menyertai Kabinet Dr Mahathir harus dipuji bagi menjayakan pelan peralihan kuasa Anwar menjadi perdana menteri ke-8.

“Anwar pun kata pada masa ini bukan tujuan dia nak jadi perdana menteri lagi, tapi dia nak ‘reform’ Parlimen dan sudah tentu menyertai Kabinet Tun Mahathir sebelum beliau melepaskan kepada Anwar dan itu lebih cantik dipandang,” katanya.

Mahfuz meminta semua pihak tidak mempolemikkan isu itu dan kembali bersatu hati untuk menumpukan dalam pilihan raya kecil Port Dickson nanti.

Dalam pilihan raya umum yang lepas, Danyal Balagopal berjaya memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi dengan memperoleh 36,225 undi berbanding 18,515 undi calon Barisan Nasional dan PAS 6,594 undi.