Ringgit didagangkan pada aras semasa minggu depan

Indeks Harga Pengguna AS yang tenang akan mengambil sedikit tekanan daripada mata wang tempatan memandangkan dolar AS tidak akan meningkat dengan agresif.

KUALA LUMPUR: Ringgit berkemungkinan didagangkan pada tahap semasa antara 4.130 dan 4.150 berbanding dolar AS minggu depan dengan sentimen pasaran kekal dipacu oleh perkembangan perdagangan global dan pergerakan pasaran baru muncul, kata peniaga.

Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes, berkata pasaran akan berhati-hati memandangkan kebanyakan risiko yang timbul berhubung kemungkinan rundingan perdagangan Amerika Syarikat-China disasarkan untuk meningkatkan pergeseran perdagangan antara 2 ekonomi berkenaan.

“Apa yang positif, Indeks Harga Pengguna AS yang tenang akan mengambil sedikit tekanan daripada mata wang tempatan memandangkan dolar AS tidak akan meningkat dengan agresif. Secara keseluruhan, saya tidak menjangka penangguhan itu akan kekal.

“Saya melihat tindakan harga baru-baru ini sebagai peningkatan yang singkat berbanding wang baru memasuki pasaran. Saya berpendapat, dolar AS akan terus dibida dan menjangka 4.13 AS dolar/ringgit akan memberikan sokongan yang kuat,” katanya.

Ringgit didagangkan dalam jajaran kecil pada minggu ini yang pendek, di tengah-tengah pasaran yang lengang. Pasaran ditutup pada Isnin dan Selasa kerana cuti am.

Pasaran akan ditutup pada Isnin depan kerana cuti am gantian sempena Hari Malaysia.

Asas Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat kepada 4.1370/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1435/1465.

Ringgit kebanyakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun pada 3.6997/6037 daripada 3.7406/7444 sebelumnya, tetapi rendah berbanding euro pada 4.8390/8446 daripada 4.8210/8257.

Ia lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0208/0241 daripada 3.0139/0163 dan susut berbanding pound British kepada 5.4282/4338 daripada 5.3725/3768.