Royalti minyak: PAS disaran solat hajat jika Putrajaya gagal tunai janji

Gambar Bernama

KUALA NERUS: Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Hassan Mahmood mencadangkan partinya bersama rakyat Kelantan dan Terengganu melakukan solat hajat, jika kerajaan persekutuan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad gagal menunaikan janji untuk membayar royalti minyak kepada 2 negeri itu.

“Kerajaan persekutuan kena berlaku adil kepada semua negeri, termasuk yang dikuasai PAS. Sebab itu kita tuntut kerajaan tunaikan segera tanggungjawabnya, iaitu membayar royalti kepada Kelantan dan Terengganu seperti disebut dalam perjanjian (berdasarkan) Akta Petroleum.

“Kalau mereka terus degil, tidak mahu tunai hak dan tanggungjawab itu, kita bergantung kepada Allah.

“Saya cadangkan PAS dan semua negeri buat solat hajat dan munajat supaya Allah buka pintu hati mereka untuk tunaikan hak kita,” kata Adun Tawang itu ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Muktamar PAS ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, hari ini.

Pagi tadi, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, PAS berpegang kepada janji dibuat kerajaan persekutuan untuk mengembalikan semula royalti petroleum kepada Kelantan dan Terengganu yang dinafikan kerajaan Barisan Nasional.

Beliau sangat positif kerajaan pusat akan mengembalikan hak 2 negeri itu yang dilihat dapat menghidupkan semula semangat federalisme yang hampir “mati” sebelum ini.

“Agenda terpenting negara adalah melaksanakan konsep federalisme yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Diharapkan banyak lagi ruang diberi kepada kerajaan negeri khususnya dalam aspek peruntukan pembangunan, kemudahan prasarana dan peluang pelaburan yang seimbang, tanpa mengira perbezaan politik,” kata ahli Parlimen Marang itu.

Pada 25 Julai lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dilaporkan berkata, pemberian 20% royalti kepada negeri pengeluar minyak tidak boleh dilaksanakan segera kerana perlu menunggu pindaan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Katanya, cadangan PH menambah pemberian royalti minyak daripada 5% kepada 20% dibuat berdasarkan keuntungan bersih Petronas, bukannya jumlah hasil pengeluaran kasar yang ternyata bercanggah Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Beliau berkata, kementeriannya sedang meneliti perkara itu dengan pihak berkaitan untuk memastikan pemberian royalti minyak yang adil dan telus, serta mengambil kira implikasi kewangan kepada negara dan industri.