Umno-PPBM bergabung hanya cerita dongeng, kata Kadir

Kadir Jasin berkata, kerjasama Umno dan PAS tidak cukup untuk membentuk kerajaan campuran di peringkat pusat kerana 2 parti itu ditolak rakyat dalam 3 pilihan raya kecil di Selangor baru-baru ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbul spekulasi beberapa pemimpin Umno, termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menemui Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini untuk membincangkan kemungkinan penggabungan 2 parti itu, kata Datuk A Kadir Jasin.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM itu berkata, khabar angin mengatakan mereka membincangkan kemungkinan penubuhan Pekembar Bersatu dengan harapan untuk menjadi sebahagian kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Khabarnya, mereka tidak lagi bercakap mengenai Umno, tetapi Pekembar. Pekembar adalah singkatan nama bahasa Melayu bagi Umno, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.

“Itu ceritalah! Masuk akal. Tapi masakan PPBM yang sudah pun menganggotai PH mahu atau boleh bergabung dengan Umno/Pekembar?

“PPBM tentulah faham muslihat Umno itu. Ini mungkin cara Umno memecahbelahkan PH dengan harapan ia akan kembali berkuasa,” tulisnya dalam blognya hari ini.

Bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times itu berkata, pendirian PPBM ialah ahli Umno dialu-alukan menyertai parti itu, tetapi mereka perlu berbuat demikian sebagai individu dan ahli biasa, bukannya secara berkumpulan sebagai cawangan atau bahagian.

“Mereka masuk sebagai ahli biasa dan kalau bercita-cita hendak memimpin, mereka perlulah melakukannya dalam kerangka PPBM.

“Majoriti ahli Umno dialu-alukan. Tetapi tentulah ada segelintir yang tidak akan diterima kerana imej mereka yang buruk dan amalan mereka yang menyalahi undang-undang.”

Kadir berkata, Umno kini bergelut mencari rakan baru susulan kekalahan teruk dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Sekarang Umno umpama anak ayam kehilangan ibu – kesejukan, kelaparan dan ketakutan. Ke sana sini mencari tempat berlindung.”

Beliau yang menulis atas kapasiti peribadi berkata, Umno mula bekerjasama dengan PAS secara tidak rasmi, tetapi nampaknya ia tidak dapat memuaskan mereka kerana parti Islam itu juga pembangkang.

Katanya, kerjasama itu tidak cukup untuk membentuk kerajaan campuran di peringkat pusat kerana 2 parti itu ditolak rakyat dalam 3 pilihan raya kecil di Selangor baru-baru ini.

“Setelah 4 bulan menjadi pembangkang, Umno mendapati keadaan itu tidak tertanggung olehnya.

“Ini adalah kerana ia terlalu biasa dengan kuasa dan duit, khususnya pada zaman ‘Cash is King’. Tanpa kuasa dan wang, Umno mendapati sukar untuk hidup.

“PAS pun tidak ada kuasa dan tidak ada duit. Malah, khabarnya kerajaan-kerajaan negeri di bawah Umno dan PAS hendak bayar gaji kakitangan awam mereka pun tidak mampu, kalau tidak dibantu oleh kerajaan pusat.”

Kadir berkata, nasib Umno tidak akan sama seperti hari ini jika ia mendengar cakap sebahagian ahlinya 3 hingga 4 tahun lalu dan menyingkirkan bekas perdana menteri dan presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

“Malah, ada pemerhati dan penganalisis politik berpendapat kalau menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu, Najib mengundurkan diri, Barisan Nasional (BN) tidak akan kalah dan PH hanya boleh berpuas hati menjadi pembangkang.

“Tetapi, ini cara Allah menyelamatkan negara kita Malaysia, iaitu dengan tidak membuka hati Najib untuk mengundurkan diri dan tidak memberi kejantanan kepada para pembesar Umno untuk menyuruh beliau berundur.

“Dengan kekalahan Umno/BN, maka terdedahlah kerosakan dahsyat yang Najib serta konco dan konspirator beliau lakukan ke atas ekonomi dan institusi negara.”

Beliau percaya lebih ramai pemimpin Umno era Najib akan “mengekori jejak bos mereka” dihadapkan ke muka pengadilan.

“Jadi, secara tidak langsung proses pembersihan Umno sedang berlaku dan ini akan memudahkan kita membezakan di antara permata dan kaca dalam pertubuhan itu.

“Yang bersih atau yang tidak terlalu teruk kesalahan dan kesilapan mereka bolehlah diterima masuk ke dalam PPBM atau sebagai sekutu PH dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” katanya sambil menambah ia boleh membantu kerajaan PH mendedah dan mengatasi pelbagai skandal serta kerosakan dilakukan kerajaan BN.