Umno tubuh jawatankuasa kerja kaji kerjasama dengan PAS Kelantan

Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan ahli Umno ketika menghadiri pertemuan khas dengan Biro Politik 4 Peringkat Umno Kelantan di Bangunan Umno negeri, hari ini. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Umno akan menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja bagi meneliti aspek kerjasama mengikut acuan politik Kelantan.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata jawatankuasa kerja itu akan dipengerusikan Ketua Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

“Di peringkat nasional, kerjasama (antara PAS dan Umno) telah terjalin secara rasmi sebagai pembangkang, tetapi untuk Kelantan ini, (PAS) adalah sebuah kerajaan negeri.

“Maka, mungkin ada beberapa pengubahsuaian yang perlu dilakukan (berdasarkan acuan politik Kelantan). (Kerjasama) ini bukan hanya untuk jangka pendek, tetapi jangka panjang,” katanya selepas mengadakan pertemuan khas dengan Biro Politik 4 Peringkat Umno Kelantan di sini, hari ini.

Zahid berkata, kerjasama jangka panjang ini amat diperlukan kerana lebih 60 tahun 2 parti berteraskan Melayu-Islam itu “berperang” sesama sendiri.

“Ini waktu terbaik anggota-anggota Umno dan PAS dapat memahami hati nurani masing-masing dan saling bekerjasama sebagaimana yang pernah kita lakukan di (3) pilihan raya kecil (PRK) Selangor baru-baru ini,” katanya.

Ditanya adakah kerjasama itu dilakukan kerana Umno semakin terdesak untuk kembali menjadi kerajaan, Zahid berkata, langkah itu diambil kerana ia merupakan realiti politik semasa yang berlaku dalam negara ketika ini.

“Tidak ada siapa, kecuali Allah Taala yang boleh menyekat bentuk kerjasama parti-parti pembangkang di dalam satu gagasan kerana kita tahu banyak isu rakyat yang tidak dapat diselesaikan dan manifesto tidak dapat diterjemahkan pelaksanaannya (oleh kerajaan persekutuan).

“Tentunya rakyat (akan) mencari Umno dan PAS untuk menyelesaikan permasalahan (yang dihadapi mereka).”