Zahid, pemimpin kanan Umno hadir Muktamar PAS

Timbalan Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob (dari kiri) bersama Menteri Besar Terengganu yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahmad Zahid Hamidi pada perasmian Muktamar PAS ke-64 di Kuala Nerus, hari ini. (Gambar Facebook)

KUALA NERUS: Selepas lebih 60 tahun PAS bermusuhan dengan Umno hari ini kedua-dua parti itu dilihat semakin serasi khususnya selepas pilihan raya umum ke-14 lepas.

Hari ini sekali lagi kemesraan itu jelas kelihatan apabila pemimpin kanan Umno yang diketuai Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir di majlis perasmian Muktamar PAS Pusat kali ke-64 bertempat di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus.

Zahid tiba kira-kita jam 9.30 pagi disambut pemimpin PAS dan ahli parti itu yang hadir.

Selain Zahid, turut kelihatan, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Penerangan, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad serta pimpinan tertinggi parti itu.

Muktamar PAS pusat berlangsung 2 hari dari 15 hingga 16 September di Terengganu, negeri yang baru dirampas kembali parti itu dalam pilihan raya umum Mei lalu.

Ia akan akan dirasmikan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebelum ini Umno memberi lampu hijau untuk menghantar wakilnya dalam Muktamar PAS.

Pada Muktamar Pemuda PAS Khamis lalu, Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki turut hadir.

PAS turut menyatakan pendirian sama tidak menolak untuk menghantar wakilnya ke Perhimpunan Agung Umno jika dijemput atas dasar semangat pembangkang.