Zahid: Umno tak hukum Nazri bantu Anwar di PRK Port Dickson

Nazri Aziz dilaporkan akan berkempen untuk Anwar Ibrahim dan meminta Umno tidak menurunkan calon menentang presiden PKR itu di Port Dickson.

KUALA NERUS: Umno tidak akan mengambil tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz yang mahu berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim di pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson nanti.

“Apa perlunya tindakan disiplin? Saya tidak nampak ada permasalahan. Saya sering meraikan perbezaan pendapat,” kata Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas menghadiri perasmian Muktamar PAS ke-64 di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa bersama Ketua Penerangan, Datuk Shamsul Anuar Nasarah serta Ketua Wanita Umno, Datuk Noraini Ahmad.

Khamis lalu, Nazri dilaporkan akan berkempen untuk Anwar dan meminta Umno tidak menurunkan calon menentang presiden PKR itu di Port Dickson.

Berhubung kenyataan Nazri untuk Umno berbaik dengan PKR, Zahid berkata, ia sekadar pandangan peribadi bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

“Nazri tidak mewakili Umno atau Barisan Nasional secara keseluruhan. Beliau mewakili dirinya sendiri sebagai ahli Parlimen dan ketua bahagian Umno. Jadi, saya hormati kenyataan peribadinya.”