Anwar sertai 5,000 rakyat hadir konsert sambut Hari Malaysia

Anwar, yang baru tiba dari lawatan ke Singapura, hadir ke konsert bertujuan menzahirkan rasa cinta kepada negara bersempena Hari Malaysia.

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini bersama lebih 5,000 rakyat menghadiri konsert Perpaduan Ambang Hari Malaysia bersempena Hari Malaysia ke-55 di Padang Timur di sini, malam tadi.

Pemimpin PKR itu yang baru tiba dari lawatan ke Singapura, hadir ke konsert yang julung kali diadakan itu yang bertujuan menzahirkan rasa cinta kepada negara bersempena Hari Malaysia yang disambut esok.

Antara artis yang membuat persembahan pada konsert yang bermula pukul 9 malam itu ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Bunkface, Jaclyn Victor, Estranged dan Sufian Suhaimi.

Dalam ucapan ringkasnya Anwar mengajak rakyat sama-sama dengan harapan dan semangat Malaysia baru membina semula negara dan menjauhi unsur rasuah dan perkauman.

Pada kemuncak konsert itu, Anwar menyertai orang ramai mengira detik Hari Malaysia menjelang tepat 12 malam dan serentak dengan itu acara ‘Larian Harapan’ sejauh 5 kilometer dimulakan.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan timbalannya, Steven Sim Chee Keong.

Kedua-dua cara itu adalah sebahagian daripada progam Pesta Harapan Malaysia 2018 anjuran portal berita Malaysiakini.