Bekas ketua menteri Melaka sertai PPBM

Adib Mohamad Adam (kiri) menyertai PPBM sebagai ahli seumur hidup semalam. (Gambar Facebook)

MELAKA: Bekas ketua menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Adib Mohamad Adam menyerahkan borang pemohonan untuk menjadi ahli seumur hidup PPBM, malam tadi.

Ketua Wanita PPBM Melaka, Azalina Abdul Rahman berkata penyerahan borang itu disaksikannya dan beberapa pemimpin parti lain di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, Jasin, dekat sini.

“Malam tadi sudah isi dan serah borang, saya sendiri yang daftarkan secara atas talian borang beliau (Adib). Diharap beliau dapat membantu saya mengukuhkan PPBM di Jasin,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, borang permohonan Adib diserahkan kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Abu Bakar Yahya yang juga setiausaha politik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Adib menyandang jawatan ketua menteri Melaka ke-5 dari 11 Julai 1978 hingga 26 April 1982.

Beliau pernah menjadi menteri penerangan dan menteri pembangunan luar bandar, koperasi dan usahawan.