Pemuda PAS bawa usul teraju politik Melayu, kukuh Gagasan Sejahtera

Muktamar juga meluluskan usul Dewan Pemuda PAS perkukuh Gagasan Sejahtera melalui lantikan politik dalam pentadbiran kerajaan Kelantan dan Terengganu.

KUALA NERUS: PAS disaran supaya menerajui usaha untuk menyatukan tenaga dan mempertahankan survival politik orang Islam-Melayu di negara ini.

Usul itu yang dibawa Dewan Pemuda PAS bertujuan mengekang anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan keharmonian politik serta masa depan agama, rakyat dan negara di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Perwakilan dewan itu berkata, sejarah penggunaan sentimen perkauman dan agama secara salah telah menatijahkan ketidaktenteraman dan sengketa awam yang mesti disekat dan dihindari sama sekali.

“Pemuda PAS menyesali gugatan dan ancaman terhadap tongak-tongak utama negara ini yakni Islam, Raja-raja Melayu, tanah rizab Melayu, bahasa Melayu dan kerakyatan oleh kerajaan PH yang dibayangi agenda DAP,” katanya.

Beliau berkata, oleh sebab itu PAS hendaklah menerajui usaha menyatukan tenaga dan mempertahankan survival politik orang Islam-Melayu di negara ini,” sekali gus merujuk kepada usul yang dibentangkan dan diluluskan dalam Muktamar Tahunan PAS kali ini

Selain usul Dewan Pemuda, muktamar juga meluluskan 6 usul lain tanpa bahas, termasuk usul mempertahankan akidah dan kedudukan umat Islam yang dibawa Dewan Ulama parti itu.

Usul tersebut mendesak pemimpin negara supaya bersikap tegas mengenai kedudukan istimewa Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan, selain menuntut tindakan diambil ke atas kenyataan yang bersifat anti-Islam, termasuk yang memperlekeh pelaksanaan undang-undang Islam.

Dewan Ulama PAS juga mendesak kerajaan menyelesaikan isu LGBT selain membatalkan pendaftaran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti menyuburkan fahaman bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Dalam pada itu PAS Kawasan Labuan mengusulkan supaya PAS mewujudkan platform melibatkan ahli agama, pakar ekonomi dan pakar strategi dalam usaha memperkasa pengaruh parti itu di Borneo.

Dewan Muslimat PAS pula mengusulkan pemantapan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) melalui strategi seperti meningkatkan kefahaman ahli DHPP mengenai Islam dan pendirian PAS.

“Meningkatkan hubungan kerjasama antara DHPP dengan rakan stategik PAS seperti Parti Cinta Malaysia yang majoritinya terdiri daripada orang bukan Melayu dan bukan Islam bagi membolehkan Gagasan Sejahtera dikenali,” kata usul dewan itu lagi.

Muktamar PAS juga meluluskan tanpa bahas usul mengiktiraf sijil dikeluarkan maahad tahfiz atau sekolah pondok sabagai syarat kelayakkan untuk memasuki universiti awam atau sektor pekerjaan, yang dibawa oleh PAS Kawasan Lenggong.

Muktamar turut meluluskan Dewan Pemuda PAS supaya Gagasan Sejahtera diperkuatkan melalui lantikan politik sebagai ejen semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan Kelantan dan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Usul, Nasrudin Hassan berkata secara keseluruhan terdapat 3 usul diterima untuk dibahas dan 7 usul dilulus tanpa bahas.