Idris: Pemimpin lari, tapi ahli setia dengan PAS

Idris Ahmad bangga dengan ahli dan penyokong yang kekal setia bersama PAS ketika berdepan musuh politik dan pemimpin keluar parti 3 tahun lalu. (Gambar Bernama)

KUALA NERUS: Naib Presiden PAS, Idris Ahmad sebak mengimbau kembali perjuangan pahit parti Islam itu menentang musuh politik dan pemimpin yang keluar parti pada 2015.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana ahli dan penyokong kekal setia bersama PAS, ketika sekumpulan pemimpin meninggalkan parti untuk menubuhkan Amanah dan menyertai Pakatan Harapan (PH).

Katanya, walaupun PAS kehilangan sekumpulan pemimpin, tetapi ahlinya bertambah sehingga mencecah 1 juta orang kini.

“Kita berjaya mendidik dan membentuk ahli-ahli kita untuk mereka faham tentang perjuangan. Ini kejayaan PAS, kejayaan tarbiah PAS.

“Kepimpinan lari macam manapun, ahli dan penyokong PAS tetap taat kepada jemaah,” katanya dalam nada sebak dalam ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, hari ini.

Sekumpulan pemimpin dalam puak progresif disingkirkan calon konservatif dalam pemilihan PAS pada 2015 dan kemudian menubuhkan Amanah.

Parti serpihan PAS itu kemudian bersama DAP, PKR dan PPBM membentuk Pakatan Harapan.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, PAS berjaya mempertahankan Kelantan dan merampas Terengganu daripada Barisan Nasional.

Parti Islam itu turut memenangi 90 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 18 Parlimen pada 9 Mei lalu.