Kontinjen negara raih 11 emas dalam Kejohanan Sukan Bomba Dunia

Malaysia menyertai 5 acara iaitu badminton, tenpin boling, bina badan, golf dan dart yang diwakili 31 pegawai JBPM dalam kejohanan melibatkan lebih 60 negara. (Gambar Bernama)

SEPANG: Kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakar kejayaan cemerlang apabila meraih kedudukan ketiga secara keseluruhan setakat ini dengan 11 pingat emas, 3 perak dan 3 gangsa pada Kejohanan Sukan Bomba Dunia 2018 Chungju, Korea Selatan.

Kejayaan itu mengatasi sasaran awal JBPM iaitu 5 emas, sekali gus mencatatkan pencapaian paling cemerlang sejak kontinjen negara menyertai kejohanan dwitahunan itu pada 2004.

Ketua Kontinjen Hamdan Ali berkata Malaysia telah menyertai 5 acara iaitu badminton, tenpin boling, bina badan, golf dan dart yang diwakili 31 pegawai JBPM.

“Bagi saya kejayaan ini terhasil daripada latihan insentif yang dijalani, tambahan pula JBPM baharu sahaja mengadakan Sukan Bomba Malaysia sebelum berlepas ke Korea Selatan,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di tanah air di sini hari ini.

Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan Wahid berkata kejayaan pada kejohanan yang turut disertai anggota bomba dari lebih 60 negara itu adalah hasil kesungguhan anggota kontinjen dalam usaha mengharumkan nama negara.

“Walaupun kita menghantar jumlah kontinjen yang kecil tetapi kita telah menduduki ranking ketiga di belakang Hong Kong dan Korea Selatan setakat ini,”katanya.

Pada kejohanan yang bermula 10 hingga 17 Sept itu, acara badminton membawa pulang empat emas menerusi Mohd Mursidi Nazri (perseorangan lelaki terbuka), Mustafa Abdul Hadi (perseorangan lelaki senior), Syed Hussin Syed Mustafa (perseorangan lelaki master) serta kategori beregu lelaki grand master diwakili A’azelan Hassan dan Zainal Abidin Nong Chik.

Selain itu, 2 pingat emas diperoleh dalam acara sukan bina badan menerusi Rosliee Suyut dalam kategori 70kg-80 kg manakala Ezam Aziery Mamat pula kategori 80kg-90 kg.

Seterusnya JPBM meraih emas bagi acara tenpin boling menerusi Syuhada Mohd Sayuthi bagi acara individu wanita serta acara double terbuka oleh Tilmizi Mustafa dan Mustafa Ismail.

Tiga lagi emas dicatatkan dalam acara dart menerusi Mohd Nasir Jantan (perseorangan lelaki), Haliza Ismail (perseorangan wanita), serta gabungan kedua-dua pemain dalam acara beregu campuran.