Mah patut letak jawatan kerana 1MDB, kata Kit Siang

Lim Kit Siang berkata, masalah yang dihadapi pemimpin Gerakan dan BN ialah mereka tidak memahami situasi sebenar.

PETALING JAYA: Lim Kit Siang mengkritik Datuk Seri Mah Siew Keong kerana beliau sepatutnya melepaskan jawatan presiden Gerakan kerana skandal 1MDB, bukannya prestasi teruk parti itu pada pilihan raya 9 Mei lalu.

Lim berkata, jika bekas ahli Parlimen Teluk Intan itu meletak jawatan kerana 1MDB, beliau akan meraih “simpati, sokongan dan solidariti semua rakyat Malaysia”.

“Peletakan jawatan Mah tanpa sebarang bantahan terhadap skandal 1MDB ialah kerugian besar kepada Gerakan dan beliau sendiri,” kata penasihat DAP itu dalam satu kenyataan beberapa jam selepas bekas menteri itu mengumumkan peletakan jawatannya.

Mah mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden Gerakan hari ini, selepas Gerakan yang meninggalkan Barisan Nasional, gagal memenangi sebarang kerusi pada 9 Mei lalu berbanding 1 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-13.

“Tiga atau 4 bulan lepas, saya mendapat banyak rayuan daripada ahli parti supaya terus kekal sebagai presiden, namun saya sebagai kapten telah berjanji jika keputusan parti lebih teruk dari dahulu, maka saya akan letak jawatan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Sembilan ke-43 di Wisma Gerakan, Seremban.

Lim bagaimanapun tidak kagum dengan peletakan jawatan itu.

“Ini masalahnya dengan pemimpin Gerakan dan BN – mereka tidak dapat memahami situasi dengan jelas.”