Mah Siew Keong letak jawatan presiden Gerakan

Mah Siew Keong menafikan ramai ahli Gerakan meninggalkan parti selepas kekalahan teruk pada 9 Mei lalu. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Datuk Seri Mah Siew Keong hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai presiden Gerakan.

Mah berkata, ini susulan prestasi buruk parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen berbanding 1 kerusi pada PRU13.

“Tiga atau 4 bulan lepas, saya mendapat banyak rayuan daripada ahli parti supaya terus kekal sebagai presiden, namun saya sebagai kapten telah berjanji jika keputusan parti lebih teruk dari dahulu, maka saya akan letak jawatan.

“Saya ucap terima kasih pada semua (ahli parti) dan hari ini secara rasmi saya tidak akan teruskan (memegang jawatan) sebagai presiden,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Sembilan ke-43 di Wisma Gerakan di sini.

Ini adalah program terakhirnya selaku presiden parti.

Pada PRU14, Gerakan kalah semua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya.

Gerakan yang menjadi parti bebas selepas mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 23 Jun lalu, akan memiliki presiden baru selepas ini.

“Kita akan ada pemimpin baru. Saya telah mengetuai parti Gerakan dan mesti ambil tanggungjawab walaupun ramai yang kata ini bukan salah kita, tetapi sebagai presiden mesti ambil tanggungjawab.”

Mah berkata, Gerakan yang kini dalam proses pemilihan parti perlu mengekalkan pemimpin lama yang digabungkan pemimpin baru bagi memastikan ia dapat dibangunkan semula.

“Kita tak boleh (letak semua pemimpin) baru, sesetengah daripadanya perlu kekal hingga kita bangun semula, tetapi presiden tak boleh.”

Pada PRU14, Mah dan calon PAS, Dr Ahmad Ramadzan Ahmad Daud tewas di kerusi Parlimen Teluk Intan kepada Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dengan majoriti 11,179 undi.

Mah dalam pada itu menafikan terdapat ramai ahli parti yang meninggalkan parti selepas kekalahan teruk Gerakan pada PRU14.

“Kita ada 300,000 ahli dan yang keluar parti itu tak banyak…setiausaha agung parti (Datuk Liang Teck Meng) beritahu saya yang masuk parti kali ini lebih ramai daripada yang keluar…Jadi nak kata tenggelam itu tak berasaslah.”

Bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu berkata, Gerakan kini mula menyusun semula parti dengan memberi mandat kepada akar umbi untuk memilih pucuk pimpinan yang dirasakan layak bagi pusat, 150 bahagian dan 1,080 cawangan di seluruh negara.

Beliau turut mengumumkan Datuk Choong Vee Hing kekal sebagai pengerusi Gerakan Negeri Sembilan.

Mengenai pendirian Gerakan dalam pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson, Mah berkata, ia akan ditentukan kemudian memandangkan parti itu kini adalah parti bebas.

“Kita hendak dapatkan pandangan dahulu sebelum memuktamadkan keputusan sebab kita ada 2,070 ahli di Port Dickson yang akan mengundi.”

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, yang meletak jawatan selaku wakil rakyat kawasan itu untuk membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada PRU14, Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN, Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.