Mat Sabu akan bincang aduan seragam Jabatan Amal PAS

KOTA KINABALU: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memandang serius aduan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berhubung pakaian seragam anggota Jabatan Amal PAS yang menyerupai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu akan membincangkan perkara itu di peringkat kementerian sebelum menentukan tindakan yang akan diambil.

“Saya dimaklumkan ini ialah isu serius, tetapi saya rasa kita perlu membincangkan perkara ini dengan terperinci sebelum menentukan jenis tindakan yang boleh diambil,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Hari Malaysia bersama menteri Kabinet lain hari ini.

Patriot yang terdiri daripada pesara tentera berkata, orang awam dilarang memakai pakaian menyerupai seragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mat Sabu yang juga presiden Amanah turut mengulas penahanan 8 aktivis di Sabah hari ini, termasuk Ketua Pemuda Amanah Sabah, Mohd Khairudin Daud.

“Saya sendiri ditahan berpuluh kali sebelum ini atas nama demokrasi. Ini bukan masalah besar.”

Khairudin antara 50 orang yang menyertai himpunan “Pandang ke Sabah” untuk menuntut hak negeri itu dikembalikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Mat Sabu berkata, tidak salah untuk mengadakan bantahan selagi ia adalah perhimpunan aman.

Ketua Amanah Sabah, Haris Alimudin mempertahankan Khairudin dengan berkata, beliau hanya melaksanakan hak demokratiknya dan polis pula sekadar menjalankan tugas mereka.

Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman mengkritik peserta himpunan itu dengan menyifatkan mereka masih mempunyai “mentaliti pembangkang”.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji berkata, 8 aktivis itu bertindak agresif.

“Mereka enggan bersurai walaupun selepas diberikan 15 minit untuk berucap tanpa pembesar suara. Apabila anggota polis bergerak ke arah mereka, mereka menjadi agresif dan pertembungan berlaku. Polis terpaksa menahan mereka.”

Mereka disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang polis menjalankan tugas dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman kerana mengadakan perhimpunan tanpa permit.