Muktamar PAS serah mandat tentu hala tuju parti kepada MSU, tolak UEC sebulat suara

Muktamar PAS sebulat suara luluskan usul membantah pengiktirafan UEC sebagai syarat masuk ke universiti dan perkhidmatan awam negara. (Gambar Bernama)

KUALA NERUS: Muktamar Tahunan PAS ke-64 hari ini meluluskan usul politik mengenai peranan PAS dalam gerakan pembangkang, termasuklah kerjasama politik susulan perubahan lanskap politik selepas pilihanraya umum ke-14 lalu.

PAS Kawasan Kota Raja dan Lenggong mengusulkan agar Majlis Syura Ulama dan PAS Pusat menentukan hala tuju dan peranan parti Islam itu dalam gerakan pembangkang demi kepentingan Islam dan rakyat.

Ia juga mengusulkan supaya memberi mandat kepada Majlis Syura Ulama untuk memuktamadkan apa juga keputusan berkaitan dan hendaklah disusuli dengan kenyataan rasmi daripada majlis itu.

Keputusan meluluskan usul itu dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan.

Sebelum itu, usul berkenaan yang dibentangkan wakil PAS Kawasan Kota Raja, Mohamad Diah Baharom sebelum disokong perwakilan Pemuda, Afnan Hamimi Taib Azamuden dan wakil dari Sabah Mustaman Mustam.

Afnan dalam perbahasannya berkata politik PAS merupakan politik dakwah bukannya politik ingin menewaskan lawan semata-mana.

Mustaman dalam ucapannya berkata, jika PAS dan Umno serta parti politik lain berkerjasama, ia akan membuka lembaran baru politik negara khususnya di Sabah.

“Jika ada gabungan PAS, Umno dan parti politik lain di Sabah ia akan memberi langskap politik lebih luas untuk kita berdakwah kepada rakyat Sabah tentang ajaran Islam dan masyarakat majmuk,”katanya.

Sebulat suara tolak UEC

Muktamar PAS juga sebulat suara meluluskan usul membantah pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersama sekolah Persendrian Cina) sebagai syarat masuk ke universiti dan perkhidmatan awam negara.

Usul yang dibawa wakil Dewan Ulama PAS dan disokong perwakilan Dewan Muslimat itu menyebut tentang kepentingan bahasa Melayu dipertahankan sebagai bahasa rasmi

“Dewan Ulama PAS mendesak kerajaan persekutuan supaya tidak menerima UEC sebagai satu bentuk syarat kemasukan ke universiti dan perkhidmatan awam negara.

“Kita juga meminta pendidik, ahli bahasa, aktivis budaya dan perrtubuhan bukan kerajaan bersatu dalam perkara ini dan terus membantah usaha mengiktiraf UEC,” kata usul itu.

Usul ini hanya dibahaskan oleh seorang wakil Dewan Muslimat sebelum diundi.

Sementara itu muktamar turut meluluskan usul solidariti dengan nasib Baitul Maqdis.

Usul yang dibawa ahli Jawatankuasa Pusat parti itu antara lain meminta masyarakat berbilang kaum Malaysia bersolidariti dan memperjuangkan kedaulatan Kota Suci itu melalui tindakan boikot dan sekatan ke atas gabungan Zionis-AS.