‘PAS bukan pelampung kemungkaran, tapi penyelamat Islam’

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS bukan pelampung buat mereka yang melakukan kemungkaran, rasuah dan penyelewengan. (Gambar Bernama)

KUALA NERUS: PAS tidak akan menjadi pelampung kemungkaran jika bekerjasama dengan Umno, kata Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sebaliknya, beliau berkata, PAS ialah pelampung kepada sesiapa saja yang ingin bersama Islam untuk mengelakkan mereka terus melakukan kemungkaran.

“Ada yang menyebut supaya jangan kita jadi pelampung kepada mereka yang melakukan kemungkaran, kemaksiatan, rasuah dan penyelewengan.

“Kita nak tegaskan PAS tidak akan jadi pelampung kepada kemungkaran, tetapi akan jadi pelampung Islam yang menyelamatkan mereka.

“Kita nak ajak mereka kepada keselamatan dunia dan akhirat,” katanya dalam ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-64 di sini, hari ini.

Terdahulu, Dewan Ulama PAS mengingatkan pucuk pimpinan parti dalam menentukan ta’awun atau kerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk Umno tidak dibuat secara berlebihan.

Perwakilannya, Zulkarnain Hassan dilaporkan berkata, PAS tidak boleh dilihat beria-ia mahukan kerjasama itu.

“Hendaklah mereka yang datang bertemu kita. Jangan kita yang nampak sangat beria-ia untuk pergi kepada mereka.”