PAS saran selaras undang-undang takzir antara negeri elak salah faham

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ada hakim yang mengenakan hukuman denda, tetapi ada pula yang dijatuhkan hukuman sebat. (Gambar Bernama)

KUALA NERUS: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan kerajaan pusat menyelaras undang-undang takzir antara negeri bagi mengelakkan salah faham.

Katanya, beberapa mufti mencadangkan penyelarasan itu dan kerajaan perlu memberi perhatian terhadap peraturan sedia ada yang tidak selaras antara negeri.

“PAS menyambut baik hasrat menyelaraskan undang-undang takzir tersebut.

“Sekarang ini ada yang mengenakan sebatan dan ada yang mengenakan hukuman lain sebab takzir tidak ada hukuman spesifik,” katanya dalam sidang media selepas berakhirnya Muktamar PAS ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, hari ini.

Beliau berkata, walaupun hukuman bagi undang-undang takzir di bawah bidang kuasa hakim, tetapi lebih baik untuk membincangkan penyelarasan itu.

“Sebenarnya hukuman ini telah berlaku di Sabah, Kelantan dan kena betulkan. Yang di Terengganu baru-baru ini bukanlah yang pertama di Malaysia,” katanya merujuk hukuman sebat ke atas 2 wanita yang mengaku bersalah melakukan hubungan seks di Dungun, April lalu.

“Sebenarnya sudah banyak kali hukuman sebat ini dilaksanakan di Mahkamah Syariah lain, cuma penyelarasan itu amat penting dilakukan.”

Hukuman takzir ialah sebahagian daripada Enakmen Hudud, Qisas dan Takzir yang diluluskan pada 2002, namun penekanan (hukuman) lebih ke arah mendidik, bukannya menghukum.

Dua wanita berusia 32 dan 22 tahun itu mengaku bersalah melakukan hubungan seks dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun, pada 1.50 tengah hari 8 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen sama kerana musahaqah.

Masing-masing disebat 6 kali dengan disaksikan lebih 100 orang awam di galeri awam Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, pada 3 September lalu.

PAS bukan parti ekstrem

Tuan Ibrahim berkata, MCA tidak perlu bimbang dengan PAS bukannya parti ekstrem.

“PAS perintah lama, kita mentadbir berdasarkan Islam dan kita sendiri menentang golongan ekstrem, soal kebimbangan MCA, kita lebih suka adakan pertemuan.”